TENTANG BERDOA
Ustaz Syaari Ab Rahman
"Al Fatihah bukan sekadar surah.
Ia adalah doa.
Maka setiap kali kita membaca 7 ayat ini semasa qiyam (berdiri) di dalam solat;
IA ADALAH PERMINTAAN HAMBA KEPADA TUHANNYA.
“Ya Allah, saya mohon pertolongan-Mu. Saya ini, banyak benar masalah,”
Ramai orang tidak menyedari surah Al Fatihah tidak hanya sebagai ayat Al Quran, tetapi Allah bantu dan beri panduan bagaimana bertertib dengan Dia.
Tidak ada sesiapa masuk ke istana terus memohon kepada Raja;
“Tuanku, bantulah saya!”
Tak boleh begitu. Bukankah istana ada senarai protokol yang perlu dipatuhi?
Sebelum memohon, terlebih dahulu raja itu perlu dipuji-puji.
“Apa istimewanya kamu untuk Aku segerakan permohonanmu, sedang Aku sendiri tak pernah ada dalam hidup kamu?” (buk!)
Lalu Allah bimbing, andai mahu doa mustajab, maka inilah yang perlu dipatuhi;
Puji Allah, kemudian baru minta tolong.
Alhamdulillahi robbil alamin.
Puji lagi; Ar Rahmani Rahim.
Puji lagi; Maliki yau middin.
Apabila selesai memuji, barulah panjangkan permohonan.
Ini kata laluan untuk ‘masuk ke dalam istana’. Sering kali kita berkehendakkan sesuatu daripadaNya, tanpa silu kita terus meminta. Adab langsung tiada. Seolah-olah tak kenal siapa itu Allah. Dia hanya dicari semasa dalam masalah. Apabila sudah senang, terus Dia kita lupakan (nauzubillah).
Agama ini, terasnya adalah solat. Sesiapa yang memelihara solat, inshaAllah agamanya terpelihara.
Dan teras solat, adalah AL FATIHAH.
‘Mohonlah pertolongan daripada Allah dengan SABAR dan SOLAT’.
Apa maksud sabar? Kenapa sabar yang disebut dahulu?
Kerana dalam solat, ramai yang tak sabar.
Dalam solat, dibacanya Al Fatihah sekadar baca. Dia tidak sabar untuk memahami setiap ayat, hanya mahu mengejar salam sahaja.
Maka, jika mahu permintaan dimakbulkan, dalam solat perlu ada unsur SABAR. Dalam solat, jangan tergesa-gesa. JANGAN BERSOLAT HANYA KERANA IA ADALAH KEWAJIPAN. Kita solat kerana mahu minta tolong.
Sebab itu, kalau ada kesempatan solat sunat; BACA AL FATIHAH PERLAHAN-LAHAN seolah-olah itu skrip yang Allah beri.
PATUHI SKRIP INI, IA ADALAH RAHSIA UNTUK 7 PETALA LANGIT MENERIMA PERMINTAANMU DAN IA DIPERKENANKAN ALLAH.
***
Ada 3 tips/rukun untuk doa mustajab.
1.Puji Allah dahulu.
“Ya Allah, Dikau Maha Pengasih, Maha Penyayang; apa sahaja masalah yang sedang aku hadapi adalah perkara baik yang datang daripadaMu. Aku takkan bersangka buruk padaMu, wahai Allah,”
Jangan buruk sangka pada Dia semasa kita menghadapi cabaran hidup.
2. Kita memohon HANYA pada Allah.
3. Yang terakhir ini ramai terlepas pandang;
Andai doa ini mustajab, KITA AKAN GUNAKAN IA UNTUK APA?
Misalnya kita mohon rezeki anak, sudah bertahun-tahun kahwin belum memiliki anak, lalu kita ikut langkah di atas.
”Segala puji bagiMu, Allah. Pasti ada sebab mengapa Dikau belum mengurniakan kami anak. Kurniakanlah kami anak, wahai Allah,”
Doa sungguh-sungguh, angkat tangan betul-betul. Tanda orang tak bersungguh, mengangkat tangan pun dia enggan. Letak atas kepala lutut saja.
Dan yang ketiga kena sebut;
‘Aku perlu anak ini, untuk tujuan apa?’
‘Aku mahu wang yang banyak, untuk buat apa?’
Belajar daripada Nabi Zakaria;
“Ya Allah, aku mahukan anak. Tapi bukanlah aku mahukannya hanya kerana iri orang lain semua ada. Aku mahukan anak kerana dia diperlukan untuk membantuku mengajar Taurat kepada Bani Israel,”
Baginda kaitkan permohonannya dengan agama.
Begitulah ibrah daripada surah Al Fatihah. Biar apa pun yang kita minta, di hujungnya ia perlu membuatkan kita untuk terus komited di jalan yang lurus.
‘Ya Allah, aku memohon kesihatan daripadaMu. Mudah-mudahan dengan tubuh yang sihat, ibadahku akan bertambah banyak dan khusyuk’.
‘Allah Tuhanku, kelihatannya rezekiku agak tertahan pada bulan ini. Banyak benar wang yang keluar. Limpah ruahkanlah rezeki dari arah yang tidak aku duga, wahai Allah. Dan aku berjanji, dengan rezeki ini, aku akan bersedekah setiap Jumaat sebanyak rm10’.
Pastikan apa yang Allah beri, kita pulangkan kembali untuk kepentingan agama.
Ada orang minta wang daripada Allah, tapi terlupa dia pada rukun yang ketiga.
Allah beri dia harta, tetapi dia bertukar diri menjadi Qarun.
Qarun itu diberikan Allah apa saja yang dia minta, namun oleh sebab tiada rukun yang ketiga; pertambahan kekayaannya menyebabkan dia semakin lalai, menunjuk-nunjuk malahan khianat pula kepada Nabi Musa dan bani Israel.
Akhirnya, dia mati dalam keadaan suul khotimah.
**
Kita pula hari ini, mahukan anak anak cemerlang dalam peperiksaaan.
Tanya semula diri sendiri, ‘kenapa berharap benar untuk anak cemerlang?’
Pastikan ia terkait kembali pada agama,"
#OlahanVideoWaridahLothpi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan