Ttadabbur ayat 7 surah al- Fatihah bahagian 2
Apakah pula yang dimaksudkan ‘nikmat yang Allah berikan’ kepada mereka?
Sama-samalah kita perhatikan maksud ayat berikut.
Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian.
Dan Aku telah cukupkan (lengkapkan) ke atas kalian nikmatKu.
Dan telah Aku redhai untuk kalian Islam itu (sebagai) agama.
- ayat 3 Surah 5 : al- Ma-idah.
Nikmat Allah ialah agama Islam yang telah Allah lengkapkan pada waktu Rasulullah saw masih hidup. Bukan Islam yang ditokok- tambah selepas itu, yang tidak berasaskan dalil al-Quran atau sunnah. Islam yang ditokok- tambah tidak Allah terima atau redha.
Antara ciri yang paling jelas pada golongan yang Allah telah berikan nikmat ialah mereka berilmu dan beramal dengannya.
Golongan orang-orang yang dimurkai ke atas mereka ialah orang-orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengannya.
Contoh paling ketara ialah orang-orang Yahudi yang ada kitab Taurat tetapi tidak beramal dengannya. Malah ada yang melampau dan menukar isi kandungan kitab Taurat.
Dalam ayat di atas, Allah sandarkan ‘memberi nikmat’ kepadaNya. Ini bererti hanya Allah yang boleh memberi nikmat kepada kita.
Sedangkan dalam ayat yang sama, ‘dimurkai ke atas mereka’ tidak disandarkan kepada Allah.
Sama-samalah kita perhatikan maksud ayat- ayat berikut.
1. Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati.
- ayat 159 Surah 2 : al- Baqarah.
Orang-orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengannya dilaknati oleh Allah dan semua makhluk. Laknat jauh lebih teruk daripada marah kerana laknat ialah jauh daripada rahmat Allah. Tanpa rahmat Allah, seseorang tidak mungkin masuk syurga.
2. Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu semua mengatakan apa yang tidak kamu semua kerjakan. Amat besar kebencian (kemurkaan) di sisi Allah bahawa kamu semua mengatakan apa yang tidak kamu semua kerjakan.
- ayat 2-3 Surah 61 : Ash-Shaf.
3. Apakah kalian menyuruh manusia dengan (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kalian melupakan diri kalian sendiri, padahal kalian membaca Al-Kitab (Taurat)? Maka apakah tidak kalian berfikir?
- ayat 44 Surah 2 : al- Baqarah.
Terdapat sebuah kisah tentang seorang Yahudi yang menyuruh anaknya yang sedang nazak mengikut perintah Nabi saw mengucap dua kalimah syahadah sedangkan dia sendiri tidak beriman.
Kita, orang Islam, juga boleh termasuk dalam golongan yang dimurkai kalau kita tidak mengamalkan apa yang kita dah belajar.
Siapakah pula yang dikatakan golongan yang sesat?
Mereka adalah:
1. orang-orang yang tidak berilmu tetapi beramal.
Mereka ini beramal tanpa dalil yang sahih tetapi mengikut adat atau berdasarkan ikut-ikutan.
Contohnya membaca surah al-Waqi’ah sebelum tidur untuk mencegah kefakiran.
(tidak ada dalil yang sahih).
2. orang-orang yang tidak berilmu dan tidak beramal.
Golongan yang sesat bukan saja orang Nasrani tetapi juga orang Islam yang beramal tanpa ilmu iaitu melakukan amal ibadah tanpa dalil yang sahih daripada al-Quran atau hadith. Juga termasuk dalam golongan ini ialah sesiapa saja yang tidak belajar dan tidak melakukan amal ibadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan