Bayangkan.
Sudah bertahun-tahun memiliki emas.
Tiba suatu ketika, perlu menggadaikannya kerana terdesak.
Bila tiba di kedai emas, semua emas yang ada diperiksa, lalu dijawab.
"Maaf. Kami tak boleh timbang emas ni. Tiada nilai. Sebab emas palsu."
"Aik.."
Jika situasi tersebut berlaku pada anda, rasa macam mana?
Kecewa sungguh-sungguh.
Bila sesuatu yang selama ni dianggap berharga, tiba-tiba baru tahu rupanya tiada nilai sehinggakan tidak dapat ditimbang.
Akhirat kelak, di timbangan mizan, akan berlaku fenomena amal yang selama ini dianggap bernilai, rupa-rupanya hanya debu. Tiada nilai. Tidak ditimbang.
=====
قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِینَ أَعۡمَـٰلًا (103) ٱلَّذِینَ ضَلَّ سَعۡیُهُمۡ فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا وَهُمۡ یَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ یُحۡسِنُونَ صُنۡعًا (104) أُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ بِـَٔایَـٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَاۤىِٕهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فَلَا نُقِیمُ لَهُمۡ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ وَزۡنࣰا (105)
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".
Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
[Surah Al-Kahf: 103-105]
=====
Bukan emas sahaja yang palsu.
Rupa-rupanya, amal palsu juga wujud.
Kalimah صُنۡعًا dalam ayat tersebut merujuk pekerjaan yang dilakukan dengan perancangan rapi, penuh kemahiran. Bukan perbuatan biasa-biasa. Suatu pekerjaan yang mengerah harta, tenaga & masa.
Tapi, pekerjaan tersebut sia-sia
Tidak dinilai di sisi Allah SWT.
Kenapa sia-sia?
Salah satunya mungkin si pelaku membuat sekecil-kecil zarah perbuatan yang menghapuskan amal.
======
{ فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَیۡرࣰا یَرَهُۥ (7) وَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةࣲ شَرࣰّا یَرَهُۥ (8) }
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
[Surah Az-Zalzalah: 7-8]
=====
Walau sebagus apapun amal.
Andai terselit sekecil-kecil zarah perbuatan penghapus amal (riak, ujub, manna wal aza etc), apa yang dilakukan bernilai kosong.
Dah sedekah, tolong orang, tapi ungkit & sakitkan hati si penerima sedekah...
Habis.
Dah penat-penat bangun solat tahajjud, pada sebelah paginya, khabarkan pada kawan-kawan sepejabat sebab mahu dilihat "soleh"...
Habis.
Dah bayar zakat, dah pergi haji, kemudian upload di media sosial dengan niat orang memuji dan bercakap-cakap akan ke"soleh"an diri.
Habis.
Ketika belajar ayat-ayat ini dalam sesi #TAMAR2024 semalam, memang rasa gerun.
Peliharalah amal.
Pelajarilah Al-Quran,
Belajarlah ilmu agama.
Agar setiap pekerjaan & perbuatan punyai nilai di sisi Allah SWT.
Jangan sampai hanya di akhirat, baru tersedar.
Sedangkan saat itu, segalanya terlambat.
Yang diharapkan syurga, rupa-rupanya perjalanan amal membawa ke neraka, naudzubillah.
=====
{ وَمَنۡ خَفَّتۡ مَوَٰزِينُهُۥ فَأُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ فِي جَهَنَّمَ خَٰلِدُونَ }
Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam -
[Surah Al-Muʾminūn: 103]
=====
Tiada ulasan:
Catat Ulasan