Mencari Redha Ilahi


10 Mac 2024

Ay Rayyan

AR- RAYYAN

Teringat peristiwa tangki minyak kereta saya, yang kering di dalam perjalanan. 

Indikator meter memberikan amaran baki minyak. Akan tetapi, saya tak endahkan, walaupun sedang melewati beberapa stesen minyak. 

Menyangka saya akan sampai di stesen minyak pilihan hati. Akhirnya, saya terkandas, akibat kedegilan sendiri. 

Di rumah, kita tahu baki keperluan dapur. Kita tak mahu susah payah, kehabisan stok di saat sedang memasak. 

Sebelum beras, garam atau gula kehabisan, kita  bersiap sedia membeli, membuat persediaan. 

Bayangkan kita diberitahu oleh seorang doktor, penyakit kritikal kita semakin parah. Anggaran usia, hanya boleh bertahan beberapa bulan saja. 

Apa perasaan kita? Pasti sedih dan sukar untuk menerima ujian berat ini. 

Sesedih apa pun, kita mula tersedar untuk siapkan diri dengan bekalan amalan kebaikan, sebelum bertemu Tuhan. 

Tanyalah kepada sesiapa saja yang waras, pasti akan tahu usia mereka sekarang. Akan tetapi, baki umur adalah rahsia Tuhan. 

Baki usia kita di dalam genggaman, Al-Muhyi Yang Maha Menghidupkan, dan Al-Mumit Yang Maha Mematikan. 

Kita tak mungkin hidup tanpa kehendak Allah. Dan tiada kesulitan untuk Allah mematikan kita, walaupun satu saat.

Firman Allah SWT:
 
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan² yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. 

Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.”   
(Surah al-Baqarah:185)

Mengikut Imam al-Qurtubi, kalimah Ramadan berasal dari kata akar (رمض), yang bermaksud kepanasan yang dilalui oleh orang² berpuasa. Seolah-olah kepanasan itu akan membakar dosa² manusia, dengan amalan soleh mereka.  

Maka, marilah kita gunakan peluang umur yang berbaki, di bulan Ramadan tahun ini.  

Moga dengan bertambahnya ibadah, dapat menghapuskan segala dosa² kita. 

Ketika kita merasa penat seharian bekerja, dan berlapar berdahaga, pujuklah diri dengan keistimewaan luar biasa yang dijanjikan Tuhan. 

Bulan yang dipilih oleh Allah untuk diturunkan al-Quran, yang penuh keberkatan. 

Bulan yang dijanjikan keampunan dan ar-Rayyan, salah satu pintu di syurga, khusus untuk orang² ikhlas berpuasa.

Semoga Allah berikan kita kesihatan yang baik, untuk bersungguh menjalankan ketaatan kepada-Nya. 

Agar setiap hari kita, dipenuhi dengan bacaan al-Quran sambil merenung pesanan Tuhan.
 
Dengan penuh harap, agar Allah merahmati kita  sebagai "VIP istimewa," yang layak memasuki pintu ar-Rayyan di akhirat nanti. 

Semoga setiap usaha dan amalan kita diterima-Nya dengan penuh rahmat dan ampunan. 🤲
                         والله أعلم

#ramadan2024

Tiada ulasan:

Catat Ulasan