Mencari Redha Ilahi


04 Mac 2024

Al-Baqarah Ayat 1


Transliterasi dan makna ayat 1 Surah 2 : al - Baqarah

  (Mohon dibaca sambil merujuk al- Quran 

agar sebutan bacaan tepat. Jazakumullahu khairan)


a’uzu = Aku berlindung

bi = dengan

Allahi = Allah

mina = daripada

asy- syaitani = syaitan

ar-rajimi = yang direjam.


bi = Dengan

ismi = nama

Allahi = Allah

ar-Rahmani = yang Maha Pemurah,

ar-Rahimi = yang Maha Penyayang.   


alif lam mim = alif lam mim (1)


Surah al- Baqarah ialah surah Madaniyah iaitu ia diturunkan selepas Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah tetapi ia adalah surah yang kedua dalam susunan al- Quran. Susunan sesuatu surah dalam al-Quran tidak menurut tertib ianya diturunkan kepada Nabi saw.


Begitu juga dengan surah al- Fatihah. Ia ialah surah pertama dalam susunan al- Quran sedangkan ayat-ayat yang pertama diwahyukan ialah ayat 1- 5 surah al-Alaq.


Ayat-ayat al-Quran diturunkan mengikut keperluan semasa berdasarkan peristiwa yang berlaku atau soalan yang ditanya.


Susunan surah-surah  yang ada dalam al- Quran adalah mengikut susunan yang telah ditetapkan di Lauh Mahfuz sebelum ayat-ayat al- Quran diturunkan.


Surah al-Baqarah ialah surah yang terpanjang dalam al-Quran. Jika surah ini dibaca di dalam rumah, syaitan akan lari (berdasarkan hadith sahih). Kenalah selalu dibaca bukan dibaca apabila baru masuk rumah saja. Mesti di baca oleh tuan rumah bukan oleh orang lain atau dipasangkan CD. Ianya berkesan jika di baca oleh orang yang bertakwa, yang mematuhi perintah Allah. Jika masih ada perkara lagha di dalam rumah tersebut, maka syaitan masih ada. Wallahua’lam.


Apakah makna ‘alif lam mim’ dalam ayat 1 surah 2 : al – Baqarah?


Ada 4 pendapat ulamak tentang makna ‘alif lam mim’.


1. Ia ada makna. 

Ada ulamak yang berpendapat ianya nama Allah dan ada yang berkata ianya nama surah. 

Pendapat ini tiada dalil, maka pendapat ini tertolak.


2. Ia ada makna tetapi Allah saja yang tahu maknanya. 

Pendapat ini tiada dalil, maka pendapat ini juga tertolak.


3. Ia tiada makna sebab ianya semata-mata huruf. 


Sama-samalah kita perhatikan maksud ayat-ayat berikut.


Alif Lam Ra. 

Itulah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas.

Sesungguhnya Kami, Kami telah menurunkannya berupa Al-Quran yang dibaca dalam bahasa Arab agar kalian memahami(nya). 

-  ayat 1- 2 Surah 12 : Yusuf.


Selari dengan ayat 2 Surah Yusuf di atas, huruf- huruf  ‘alif lam mim’ difahami walau pun ia tiada makna. Ia difahami sebagai huruf-huruf bahasa Arab.


Kenapakah Allah turunkan huruf-huruf yang tiada makna?  


Walaupun tiada makna, hikmahnya ada, bukan sia-sia. Tujuannya ialah untuk menzahirkan kehebatan al-Quran.


Kehebatannya ialah ia diturunkan dalam bahasa Arab, iaitu sama dengan bahasa dan huruf orang Quraisy. Apabila huruf dan bahasa sama, maka Allah mencabar orang Quraisy yang menuduh Nabi saw membuat al-Quran sendiri.


Allah mencabar orang Quraisy untuk membuat ayat al- Quran kerana mereka sepatutnya boleh membuat ayat al-Quran sebab al-Quran ialah dalam bahasa mereka. Namun mereka tidak dapat membuat satu ayat pun, walau pun bahasanya sama, sekali gus membuktikan al-Quran bukan cipataan Nabi saw tetapi ianya ialah daripada Allah.


Ini ialah pendapat Imam Mujahid, ahli tafsir terkenal zaman tabi’in.


4. Ulamak tak tahu samada ada makna atau tidak, mereka berserah kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan