Mencari Redha Ilahi


13 Julai 2023

Tahan diri ketika ujian sangat-sangat sulit

Tahan diri ketika ujian sangat-sangat sulit.

_________________


Pernah tadabbur ayat-ayat Quran tentang kelompok manusia yang Allah datangkan larangan, lalu diuji dengan larangan yang terbentang depan mata.


Pasti sulit, bukan?


Ada sejarah Nabi Adam & isterinya yang dilarang mendekati pohon terlarang (Al-'Araf,7: 19). Sedangkan pohon itu mudah sahaja untuk didekati. 


Ada sejarah tentera Thalut yang dilarang meneguk air sebanyak-banyaknya saat melalui sungai (Al-Baqarah, 2:249). Sedangkan sungai itu depan mata mengalir banyaknya cukup untuk semua. 


Ada sejarah satu kaum yang diperintahkan beribadah Hari Sabtu & dilarang tangkap ikan pada hari berkenaan. Sedangkan satu-satunya hari yang paling banyak ikan muncul bahkan terapung-apung pada mereka adalah hari Sabtu (Al-'Araf, 7:163)


Itu, umat-umat yang telah lalu.

Dan umat Muhammad s.a.w tetap tak lepas daripada ujian.


Ada larangan makan & minum sepanjang siang bulan Ramadhan sedangkan makanan & minuman sentiasa ada untuk dinikmati.


Ada larangan menyembelih haiwan ketika ihram. Sedangkan ketika itu, Allah membuatkan mudahnya menangkap haiwan² tersebut (Al-Maidah,5:94).


Puasa Ramadhan.

Sekolah melatih kita kemahiran menahan diri meskipun emosi lapar & letih berkecamuk dalam jiwa. 


Ibadah Haji pula.

Sebuah latihan menahan diri daripada keinginan Syahwat dalam suasana tak selesa bergaul dengan masyarakat pelbagai karenah. Inilah ibadah yang banyak larangannya untuk disiplin dipatuhi


Ya.

Begitulah kehidupan seorang hamba yang diuji. 


Memahami perspektif hidup neraca wahyu ini, bagaimana seharusnya kita menyikapi segala "peperangan" dalam jiwa manusia yang mahu melanggar aturan?


Allah melarang sebarang bentuk pelempiasan nafsu syahwat di luar jalan yang Dia tetapkan (Al-Mukminun,23:5-7). Tetapi, segala jalan yang haram itu terlalu mudah diakses, terbentang depan mata.


Allah larang memarahi pasangan & anak-anak (At-Taghabun, 64:14)  tetapi ruang "kuasa" yang ada di rumah membuatkan terlalu mudah untuk langgar larangan ini. 


Allah larang kita merasa diri paling benar, merendahkan orang lain, mengumpat & mencela. Tetapi, semua ini jadi terlalu mudah dilakukan di media sosial kerana boleh berselindung sebalik skrin, selamat daripada ancaman. 


Lalu.

Tatkala datang cara fikir "Tak apalah saya langgar larangan ini, dah semuanya mudah nak buat & langgar. Nak buat macam mana. Lepas ni lah saya taubat.."


Haipp.

Memang realiti ujian hidup itu sulit. 


Dibentangkan segala akses kepada larangan Tuhan bukanlah alasan untuk mengingkariNya. Sebaliknya itulah bukti yang diri masih hidup di dunia & masih diuji Tuhan untuk membuktikan Iman. Mahu taat bertuhankan hawa nafsu & syaitan atau benar-benar bertuhankan Allah? 


Justeru.

Saat diuji dengan pelbagai macam perintah & larangan Tuhan untuk ditaati, cepat-cepat ingat bahawa kehidupan sebenar adalah Akhirat. Usah biarkan nafsu rasa rugi dengan maksiat yang terpaksa ditinggalkan. 


Syukuri ujian² yang sulit dihadapi. Jadikanlah ia peluang menahan diri & sabar demi meraih pengampunan & rahmatNya. 


Sehingga akhirnya. 

Moga-moga kita semua berjaya kembali ke kampung syurga setelah buktikan pada Tuhan "Saya tetap taat kepadaMu meskipun nafsu syahwat & bisikan syaitan mengasak."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan