Mencari Redha Ilahi


13 Julai 2023

Bercakap Sepenuh Mulut Menurut Al-Quran.

 Bercakap Sepenuh Mulut Menurut Al-Quran.


Al-Quran membezakan antara orang yang bercakap sepenuh mulut dengan orang yang bercakap menggunakan lisan sahaja.


Baik, sila teruskan bacaan anda.


يَقُولُونَ بِأَفۡوَٰهِهِم مَّا لَيۡسَ فِي قُلُوبِهِمۡۚ

“Mereka mengatakan dengan mulut-mulut mereka sesuatu yang tidak sama dengan qalbu-qalbu mereka.” (Ali ‘Imran: 167)


Dalam ayat yang lain,


يَقُولُونَ بِأَلۡسِنَتِهِم مَّا لَيۡسَ فِي قُلُوبِهِمۡۚ 

“Mereka mengatakan dengan lisan-lisan mereka sesuatu yang tidak sama dengan qalbu-qalbu mereka.” (Al-Fath: 11)


Dalam Surah Ali ‘Imran, lafaz بِأَفۡوَٰهِهِم maksudnya “dengan mulut-mulut mereka.” Dalam Surah al-Fath, lafaz بِأَلۡسِنَتِهِم maksudnya “dengan lisan-lisan mereka.” 


Apakah perbezaannya dan mengapa berbeza?


1- Lisan hanyalah satu juzuk daripada mulut. Mulut lebih bersifat umum.


2- Penggunaan lafaz بِأَفۡوَٰهِهِم merupakan kiasan-berlebihan yang bermaksud “mereka benar-benar penipu dan tidak boleh dipercayai.”


3- Surah Ali ‘Imran memperkatakan orang munafiq yang begitu banyak alasan untuk tidak mahu terlibat mempertahankan Madinah meskipun sudah mengikat janji setia dengan Rasulullah s.a.w. 


Boleh rujuk ayat 167 dan 168 secara keseluruhan untuk memahami alasan demi alasan yang dikemukakan oleh mereka. 


4- Orang yang bercakap bersungguh-sungguh dikatakan تَكَلَّمُ بِمِلْءِ فِيهِ maksudnya “bercakap sepenuh-penuh mulut.”


5 Surah al-Fath membawakan kes lain, memperkatakan tentang sekumpulan Arab Badwi yang enggan terlibat dengan Umrah al-Hudaibiyyah. Alasan mereka, kewangan dan keluarga. 


Mereka bukan kaki penipu bagaikan orang munafiq, namun tetap ada silap salah. Lagipun mereka baru sahaja menerima Islam, tidak berpendidikan tinggi, menjalani kehidupan yang susah dan tinggal berjauhan dari kota. 


Maka lafaz بِأَلۡسِنَتِهِم sesuai untuk mereka.


Ini hanya ulasan ringkas dan ada lagi jika mahu dikupas.


Wallah a’lam.


Rujukan:

Dirasah al-Mutashabih oleh al-Samira’i, 177-178.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan