Mencari Redha Ilahi


13 Julai 2023

Dua bentuk dosa ibu bapa

 Dua Bentuk Dosa Ibu Bapa; Meneliti Penggunaan Huruf لِ dan عَلَى.


Biasanya anak yang dikaitkan dengan dosa terhadap ibu bapa, atau derhaka. Al-Quran turut berkongsi dan membuat penjelasan tentang dosa ibu bapa terhadap anak-anak dengan sangat halus.


Sehalus huruf atau kalimah لِ yang bermaksud untuk dan عَلَى yang bermaksud ke atas. Dalam pengajian Bahasa al-Quran dan Bahasa Arab, sekecil huruf لِ, tetap ada fungsi dan peranannya. 


وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حُسۡنًاۖ وَإِن جَٰهَدَاكَ لِتُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ فَلَا تُطِعۡهُمَآۚ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (8) 

“Dan Kami berwasiat kepada manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya kamu mempersekutukan Daku dengan sesuatu yang kamu tiada kamu taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.” (Al-‘Ankabut:8)


وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٍ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ (14) وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفًاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (15) 

“Dan Kami berwasiat kepada manusia kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) -14- Dan jika mereka berdua mendesakmu atas mempersekutukan Daku dengan sesuatu yang kamu tiada pengetahuan kamu taat kepada mereka; dan layanilah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu. Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan -15-.” (Luqman:14-15)


Perhatikan ayat ini,


a- Menggunakan huruf لِ pada وَإِن جَٰهَدَاكَ لِتُشۡرِكَ بِي yang bermaksud “dan jika mereka berdua mendesakmu supaya kamu mempersekutukan Daku.”


b- Menggunakan huruf عَلَى pada وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي yang bermaksud “Dan jika mereka berdua mendesakmu atas mempersekutukan Daku.”


Apakah beza antara لِتُشۡرِكَ dengan عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ? Sangat halus bukan? Wacana huruf لِ dan عَلَى ini akhirnya membawa kita memahami 2 bentuk dosa yang dilakukan oleh ibu bapa.


Satu: Bagi Ibn al-Zubair al-Gharnati, “Pengkisahan dalam al-‘Ankabut disampaikan dalam bentuk ringkas, justeru, memadai huruf لِ digunakan. Berbeza dengan pengkisahan dalam Luqman yang panjang, justeru, sesuailah huruf عَلَى.” (Malak al-Ta’wil)


Ulasan Ibn al-Zubair ini mungkin betul, namun masih belum memuaskan. Pasti ada penjelasan lain yang lebih baik dan mencakup segala aspek.


Dua: Dr Fadhil menyeluruhi ayat-ayat al-‘Ankabut dan Luqman secara lebih menyeluruh. Penjelasannya seperti berikut,


(a) Huruf لِ berada dalam kerangka “menyatakan tujuan” (لِلتَّعْلِيلِ). Ayat al-‘Ankabut menjelaskan tujuan pemaksaan itu berlaku, iaitu agar anak-anak mensyirikkan Allah Taala. Pemaksaan dengan menggunakan huruf لِ dilihat tidak bersifat begitu keras.


(b) Huruf عَلَى berada dalam kerangka “pemaksaan ke atas atau penguasaan” (لِلاسْتِعْلَاءِ). Ayat Luqman menjelaskan kekerasan hakiki atau pemaksaan yamg bersifat keras.


Mudah cerita, Surah al-‘Ankabut memberikan fokus kepada ‘tujuan pemaksaan’, manakala Surah Luqman memberikan fokus terhadap ‘bentuk pemaksaan’. Dapat difahami bahawa dosa ibu bapa dalam Surah Luqman lebih besar dan lebih keras.


Tiga: Sebagai bukti kekerasan dalam Surah Luqman, perhatikan kewajipan seorang anak sebagaimana diperintahkan oleh Allah Taala, وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ yang bermaksud “Dan Kami berwasiat kepada manusia kepada kedua ibu bapanya.”


Keadaan ini berbeza dengan Surah al-‘Ankabut yang berbunyi وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حُسۡنًا yang bermaksud “Dan Kami berwasiat kepada manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.”


Tiada perintah untuk berbuat baik حُسۡنًا terhadap ibu bapa dalam Surah Luqman. Hanya mengenang jasa ibunya yang mengalami kesulitan semasa mengandung.


Walhasilnya, ada 4 bentuk kebaktian anak-anak terhadap ibu bapa:-


(a) Buat yang terbaik إحسان seperti perintah Allah Taala kepada Bani Israil dalam Surah al-Baqarah.

(b) Buat yang terbaik إحسَٰن seperti perintah umum Allah Taala kepada seluruh muslim seperti dalam Surah al-Isra’.

(c) Buat yang baik حُسۡنًا seperti Surah al-‘Ankabut.

(d) Sekadar mengingati jasa agar tidak derhaka, seperti Surah Luqman.


Empat: Surah Luqman ada menerangkan tentang pergaulan di dunia, وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفًا yang bermaksud “dan layanilah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”


Ertinya, kita sebagai anak perlulah melayani mereka seadanya, memenuhi kehidupan dunia. Di akhirat, tiada lagi hubungan antara kita dengan mereka, sebagaimana terputusnya hubungan antara Nabi Nuh a.s. dengan anaknya yang syirik, dan terputusnya hubungan antara Nabi Ibrahim a s. dengan bapanya yang syirik.


Rumusan:-

1- Huruf لِ menunjukkan ibu bapa yang berusaha mendesak anak mereka untuk menyekutukan Allah Taala.


Huruf ini lebih memberikan fokus kepada tujuan dan matlamat mereka.


2- Huruf عَلَى menunjukkan ibu bapa yang sangat-sangat mendesak anak mereka untuk menyekutukan Allah Taala.


Huruf ini lebih memberikan fokus kepada tindakan kasar mereka dalam memaksa anak tersebut.


Wallah a‘lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan