Agenda tahrif yang merosakkan agama Islam dilakukan oleh musuh²nya sejak dahulu melalui pelbagai cara yang zahirnya kelihatan akademik.
Kisah² palsu agama dalam tafsir dan hadis bercampur aduk dengan Isrā'īliyyāt riwayat Ahli Kitab yang memeluk Islam. Kebatilan mereka ditapis oleh ulama² hadis yang menjaga kesahan sanad setiap riwayat yang disampaikan.
Fikrah² sesat dalam akidah oleh aliran Khawārij, Muktazilah, Murjiah, Shī'ah, Mujassimah, Taşawwuf Bātinī dsb yang menggunakan dalil al-Quran dan Sunnah dengan tafsiran yang menyeleweng. Firaq ḍāllah ini telah ditangkis oleh ulama² akidah ASWJ seperti Ashā'irah Mātūridiyyah dalam karya² mereka sepanjang zaman.
Kemudian golongan orientalis menggunakan kajian sejarah Islam (kajian dunia Timur) khususnya sirah Baginda SAW untuk memburukkan imej Islam secara tidak langsung. Digambarkan Islam sebagai agama peperangan, penghambaan, penindasan dan eksploitasi wanita untuk seks dan diskriminasi gender. Penyelewengan² fakta ini telah dijawab oleh pemikir² Islam di pusat pengajian tinggi sama ada di negara Islam atau di Barat sendiri.
Seterusnya, golongan sekularisme dan yang tersadung ke dalam jebak hitam ini seperti liberalisme menerobos masuk dalam epistimologi ilmu Islam khususnya syariah. Kesakralan syariah akan diruntuhkan melalui medium fiqh dan ijtihad yang dikuasai oleh sarjana hukum dan mujtahid sejak zaman berzaman. Liberalis akan memprojeksi syariah sebagai man made law atau hasil tangan manusia yang merubah ciptaan Allah, dengan fatwa² fiqhiyyah. Syariah dituduh mundur dan terkebelakang kerana dasar, prinsip dan norma Islaminya dituntuni oleh ulama yang mundur khususnya aliran tradisionalis (yang sering dijadikan mangsa belasahan liberalis dan modenis). Golongan ini sangat ingin mengemudikan stering fiqh dan ijtihad mengikut kaedah liberal mereka agar syariah kononnya akan lebih progresif dan berdaya. Namun kebatilan golongan ini telah tersekat dengan adanya para ulama muĥaqqiqīn yang mendapat kepercayaan ummah.
Yang terakhir ini paling menonjol sejak beberapa dekad yang memulakan usaha di negara Indonesia dengan kemunculan Jaringan Islam Liberal (JIL) yang didanai oleh The Asia Foundation dari tahun 2001-2005. Jaringan ini mempromosi pelbagai idea tentang pluralisme, Islam inklusif, modenisme dan ide pembebasan daripada apa yang mereka namakan "fikrah² yang menindas".
Serpihan² idea gerakan ini telah mula menapak di Malaysia dengan berselindung di sebalik organisasi yang zahirnya menampilkan idea pembaharuan, progresif dan reformasi agama.
Namun, seperti biasa kita hanya akan sedari selepas semua itu menjadi barah yang sukar dirawat. Idea² ni biasanya mengambil kesempatan di sebalik pergeseran dalaman umat Islam sehingga orang tidak sedar dengan kehadirannya. Mereka wujud dan bergerak.
Kadang kala kesan perbalahan dalaman antara kita yang memberikan point dan idea tambahan kepada puak² liberalis ini.
Dr HK
25.1.2024
Tiada ulasan:
Catat Ulasan