Mencari Redha Ilahi


28 Mac 2011

Penterjemah: Kurang Glamor Tetapi Lumayan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Penterjemah: Kurang Glamor Tetapi Lumayan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Adakah seseorang itu mampu menyara kehidupan dengan hanya bekerja sebagai penterjemah bebas?

Jika pendapatan yang diperoleh itu mampu menjanjikan pendapatan hebat, kenapa tidak dicuba karier sebagai seorang penterjemah sepenuh masa atau bebas.

Dengan berbekal kemahiran berbahasa serta suka membaca untuk mengetahui perkembangan terkini, seseorang boleh menjadi penterjemah yang mampu memperoleh pendapatan yang agak lumayan.
Belum Glamor Seperti Profesion Lain

Bagi mereka yang tidak mengetahui potensi industri ini, mungkin mengetepikan profesion ini dengan menganggap ia belum tentu memberi pendapatan lumayan.

Namun, berdasarkan hasil temuramah didapati penterjemah bebas bukan sahaja boleh "hidup" malah boleh bercuti setiap tahun ke luar negara, sesuatu perkara yang belum pasti bagi mereka yang bekerja tetap.

Bagaimanapun, kerjaya penterjemah di sini tidak semeriah atau dalam erti kata lain seglamor seperti profesion peguam, doktor, cikgu mahupun tidak pegawai atasan kerajaan dan swasta walhal profesion ini telah berkembang secara menariknya di pasaran barat.

Jujurnya, harus diakui juga agak jarang mendengar ungkapan "penterjemah" dijadikan sebagai karier pilihan apabila menamatkan pengajian di universiti mahupun kolej. Apatah lagi, keluhan sebegini turut diakui oleh Penyelaras Bahagian Terjemahan di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) Jurina Pieei dalam satu laporan akhbar tahun lepas mengenai kerjaya ini."Tidak keterlaluan jika dikatakan bidang itu masih kurang mendapat perhatian sedangkan terjemahan memberi impak besar," katanya.
Industri Terjemahan

"Bidang ini sangat besar," itu adalah reaksi daripada Pensyarah Pengajian Penterjemahan bahagian Bahasa Malaysia, Terjemahan dan Interpretasi di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Hasuria Che Omar.

Katanya, industri ini bukan sekadar terhad dalam lingkungan menterjemah perkataan dari sebuah buku atau dokumen kepada bahasa lain, malah ia turut merangkumi dari sudut jurubahasa serta penyediaan sari kata. "Bidang terjemahan ini luas skopnya sebagai contoh dalam dunia terjemahan turut menawarkan profesion jurubahasa.

Profesion ini kita dapat lihat sama ada ketika seminar mahupun di mahkamah di mana seseorang itu akan bertindak menterjemahkan sesuatu bahasa yang digunakan ke bahasa sasar bagi memudahkan pemahamannya. "Selain jurubahasa, mereka yang terlibat dalam menyumbangkan "voice over" dalam sesuatu permainan game ataupun menterjemahkan sesuatu bahasa dengan menggunakan isyarat tangan turut terangkum dalam profesion ini, iaitu industri terjemahan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut, beliau berkata sebenarnya masyarakat telah berada dekat dengan industri terjemahan ini, menerusi tontonan televisyen ataupun filem yang turut menyiarkan terjemahan sari kata atau alih bahasa. "Penterjemahan audiovisual sari kata pada filem, rancangan televisyen, VCD dan DVD sebenarnya tertakluk dalam industri ini.

"Biar mana pun alirannya, yang pasti industri terjemahan ini memberi variasi peluang pekerjaan serta pendapatan lumayan kepada mereka sekiranya rajin berusaha," katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia. Bagaimanapun, untuk artikel ini fokus kerjaya penterjemahan lebih ke arah "penulisan" yang merujuk karya seperti buku mahupun dokumen.
Berhenti Kerja Gara-Gara Ingin Fokus Kerjaya Penterjemah

Kalau dilihat dari sudut latarbelakangnya, langsung tiada kaitan dengan pengajian bahasa. Berkelulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang juruukur tanah dan memilih kerjaya itu sebaik tamat pengajian, siapa sangka Muhammad Razin Ong Abdullah akhirnya menjebakkan dirinya dalam dunia terjemahan pada 1991 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Pegawai Perancang Bahasa dan Terjemahan.

Semuanya bermula apabila beliau terlibat dengan satu perjumpaan alumni UTM yang secara kebetulannya turut menganjurkan kursus terjemahan, sekali gus telah menggerakkan hatinya memilih profesion tersebut. "Selepas kursus itu, DBP ada hubungi saya untuk projek terjemahan buku pengajian tinggi, kalau tidak silap nama projek itu ialah projek nadi. Dari situ mula timbul minat dan akhirnya saya telah dipelawa kerja sebagai penterjemah sepenuh masa secara serius," katanya.

Berkhidmat selama tujuh tahun di DBP, beliau kemudian mengorak langkah dan pengalaman baru di DTP Enterprise Sdn Bhd sebagai editor pengurusan dan Book Online Sdn Bhd menerusi jawatan web editor sebelum mengambil kata putus pada Mac
2001 untuk menjadi penterjemah bebas yang tidak terikat dengan mana-mana agensi.
Boleh Hidupkah Dengan Kerjaya Penterjemah Bebas?

"Mesti mempunyai disiplin yang kuat, rajin dan banyak kenalan sudah tentu industri terjemahan ini berupaya menukarkan perkataan kepada wang dan menjadi peniagaan menarik," katanya. Beliau yang khusus kepada terjemahan dalam karya berbentuk teknikal berkata dengan hanya bersandarkan pendapatan sebagai penterjemah bebas sejak tahun 2001 sehingga kini, beliau telah berjaya menyara keluarganya.

"Saya masih dapat survive malah dengan hasil pendapatan terjemahan inilah saya sara keluarga. Freelance, bekerja sendiri maknanya kita perlu memperbanyakkan usaha untuk dapatkan kerja. "Dalam sebulan, paling maksimum saya boleh terima projek ialah untuk menterjemah sebanyak 60,000 patah perkataan dan purata pendapatan sebulan ialah antara RM$3,000 atau RM$4,000. Kerjaya ini memang menjanjikan pendapatan lumayan, cuma kena rajin sahaja," katanya yang mahir menterjemah dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu dan sebaliknya.

Mengenai kadar, beliau berkata ia bergantung kepada penterjemah itu di samping sudut bahasa sasaran, kesulitan, ketebalan dan pengalaman seseorang penterjemah turut diambil kira. "Kalau teks itu mudah, mungkin antara RM0.30 sen atau RM0.40 sen untuk satu patah perkataan. Kalau terlalu teknikal atau susah, mungkin harga lain tetapi tidak ada kadar maksimum kerana ia bergantung kepada diskusi antara kita dengan klien," katanya.
Lumayan Kalau Kena Gayanya

Pandangannya turut dipersetujui oleh seorang lagi penterjemah bebas, Amir Muslim. Terjebak dalam dunia terjemahan hampir 11 tahun sejak 2001, Amir yang sebelum ini bekerja sebagai wartawan di meja antarabangsa akhbar Harian Metro, mengambil kata putus menjadi penterjemah bebas kerana minat serta lebih suka bekerja sendiri.

Menurut Amir, kerjaya penterjemah bebas ini juga seperti perniagaan lain yang juga memerlukan strategi tertentu dalam menarik perhatian pelanggan sekali gus meraih keuntungan. "Kerjaya ini ada prospek maknanya kita boleh cari makan, boleh hidup kerana saya bergantung dengan kerjaya ini sudah lama iaitu hampir 11 tahun. Macam perniagaan lain, mempunyai produk dan produk kita adalah kemahiran bahasa, menterjemah dan penguasaan ilmu untuk dipasarkan.

"Daripada produk yang kita ada itu, kita kena pandai pula bagaimana untuk pasarkan diri kita. Kalau kita pandai cari klien, memang kadang-kala sampai tidak menang tangan dibuatnya. "Apatah lagi, kalau karier kita sudah establish, memang projek sentiasa masuk kerana orang sudah kenal dan tahu cara kerja kita," katanya yang enggan mendedahkan hasil pendapatannya untuk dikongsi bersama pembaca. Amir yang khusus menterjemah dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu berkata hampir 100 peratus projek yang diperolehinya adalah daripada ITNM.

- Kuala Lumpur, 28 Mac 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Sumber imej : Google Image

2 ulasan:

  1. Saya pensyarah Bahasa bersara. Miliki dip perterjemahan Dan ahli ppm. Minat terjemah novel Dan bacaan umum. Biasa Bantu rakan sekerja terjemah kertas seminar, disertasi dsb.Sedia terima tawaran menterjemah dari mana2 baran/penerbit.

    BalasPadam
  2. Apakah ia perlu mengikuti mana mana kursus ?

    BalasPadam