Mencari Redha Ilahi


03 Januari 2011

Nafkah batin bukan sekadar seks semata mata

Kita diwajibkan mempelajari ilmu fekah sebagaimana penekanan Allah menerusi firmanNya yang bermaksud : “Ketahuilah! Bahawa dianjurkan bagi seorang suami memerintahkan isterinya (dan mengingatkannya dengan nada yang lembut) dan menafkahinya menurut kadar kemampuannya dan berlaku tabah(jika disakiti oleh isterinya) dan bersikap halus kepadanya dan mengarahkannya ke jalan yang baik dan mengajarnya akan hukum-hukum agama yang perlu diketahui olehnya iaitu hukum bersuci, haid dan ibadah-ibadah(yang wajib dan sunat).”

Justeru itu, suami mesti mengajarkan isterinya cara-cara mandi hadas dan berwuduk serta masalah haid, nifas dan wiladah. Juga mengenai cara-cara menyucikan najis serta pembahagian air yang wajib untuk dibuat bersuci, hukum halal dan haram serta banyak lagi.

Tujuan mempelajari ilmu tasawuf pula supaya setiap amalan yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas kerana Allah SWT dan dijauhkan daripada bersifat sombong ataupun takbur.

Selain daripada perkara-perkara asas tersebut suami juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia terhadapnya, anak-anak, ibubapa, sesama isteri-isterinya yang lain sekiranya berpoligami,rakan-rakan,jiran tetangga serta masyarakat. Suami juga berkewajipan memberitahu isteri tentang adab-adab di dalam Islam mencakupi akhlak serta segala percakapan dan tindakannya mestilah mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW. Juga tentang akhlak sebagai seorang ibu semasa bersama anak-anak iaitu berbual atau berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa yang baik, lembut, mesra tetapi tegas dalam berhukum dan jangan memaki-hamun mereka secara kasar. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu mengandungi doa, jika tercetus dari mulut ibu kata-kata seumpama “Beruk punya anak !″ maka lahirlah watak beruk kepada si anak yang sukar untuk dilentur perangainya.

Ajarkan juga isteri supaya menghormati dan beradab sopan ketika berhadapan dengan ibubapa dan mertuanya. Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika dia suka mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya. Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain.

Selalu ingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah SWT. Ajarkan kepada dia tentang batas-batas aurat dan pergaulan seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika dia bergaul dengan keluarga, sanak-saudara, sahabat-sahabat perempuan, serta semasa berhadapan dengan lelaki yang bukan muhrimnya dan supaya isteri tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.

Isteri yang berjaya dididik dengan baik akan menjadi insan yang patuh kepada Allah dan mentaati suaminya dikala susah mahupun senang. Dia sentiasa menjadi teman yang menjadi pendorong serta penasihat kepada suami dalam hal-hal agama dan kebaikan, malah akan mendoakan keselamatan ke atas suaminya pada setiap waktu.

Kesimpulannya, inilah sebahagian daripada tanggungjawab suami dalam menunaikan nafkah batin kepada isteri. Sekiranya suami tidak berkemampuan untuk membimbing isteri dan anak-anak, dia wajib berusaha mencari guru yang mampu mengajar dan membenarkan isteri keluar untuk belajar tentang Islam. Semoga dia dan ahli keluarganya terselamat daripada seksa di akhirat kelak.

Ibnu Abbas pernah berkata: "Berilah pengertian agama kepada mereka(ahli keluarga) dan berilah pelajaran budi pekerti yang bagus kepada mereka."

Kebenaran tetap ada walau dalam kesamaran. Yang benar itu tetap benar, yang salah itu tetap salah.

Wallahhua'alam.

Penyunting : Norfazihah Hani Binti Abnol Kassim
Sumber : http://www.hafizng.com ( Mohamad Hafiz Ng Abdullah -Jaipk)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan