Mencari Redha Ilahi


24 Disember 2023

PEMUDA KAHFI Hijrah, rahmat dan boikot

 Pemuda Kahfi, hijrah, rahmat & boi kot. 

__________________


Dalam Islam, kita memang ada konsep HIJRAH. 


Saya tahu kisah realiti beberapa orang pekerja bank yang gaji 5-6 digit tapi letak jawatan atas kesedaran. Bila belajar Quran, tersedar bersekongkol dengan riba, lalu memilih hijrah dengan tinggalkan kerja yang gaji lumayan. 


Saya juga kenal manusia yang memilih berhenti kerja tatkala majikannya meminta dirinya memakai tudung singkat serta menyarung pakaian yang menampakkan bentuk tubuh badan. 


Ada juga yang meletak jawatan kerana sistem kerjanya memaksa dia melewat-lewatkan solat kerana terlalu sibuk melayan pelanggan. Majikan pula tak "block" waktu solat untuk para pekerja. 


Itulah hijrah. 

Konsep ini sudah wujud sebelum tujuh oktober 2023. Bukan perkara baru. 


Isu boi kot barangan IsNotReal ini sebenarnya juga tentang hijrah. 


Kalangan pelanggan, sejauh mana sanggup hijrah memilih barangan alternatif. 

Kalangan pekerja, sejauh mana sanggup hijrah cari pekerjaan lain.

Kalangan majikan atau pemilik syarikat yang menyumbang pada dana israhell, sejauh mana sanggup hijrah untuk tukar bisnes.


Sungguh, tidak mudah.


Siapa kata mudah?


Memang hijrah tak pernah mudah. Tetapi ganjarannya juga lumayan di sisiNya. 


Seperti pemuda Kahfi yang sanggup tinggalkan segala-galanya demi Iman. 


Seperti Nabi Muhammad saw & para sahabat yang berhijrah dengan meninggalkan rumah & harta untuk ke Madinah tatkala diperintahkan. 


Meskipun hijrah dengan mata kasar terlihat sangat merugikan. 


Tapi itulah asbab meraih RAHMAT Allah.

Itulah ciri manusia yang mengharapkan rahmat Allah. 


=====

{ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَٰٓئِكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ }


Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


[Surah Al-Baqarah: 218]

=====


Iman.

Hijrah.

Jihad.


Itulah syarat untuk dilihat sebagai hamba yang mengharap rahmatNya. 


Apakah Allah SWT mengotakan janjiNya tatkala pemuda Kahfi berhijrah lalu mengharapkan rahmat?


======


{ إِذۡ أَوَى ٱلۡفِتۡيَةُ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ فَقَالُواْ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةٗ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدٗا }


(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami".


[Surah Al-Kahf: 10]


=======


Ya. 


Jika si hamba memenuhi syarat Iman, hijrah & jihad, Dia Akan kurniakan rahmat. 


=====


{ فَضَرَبۡنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمۡ فِي ٱلۡكَهۡفِ سِنِينَ عَدَدٗا }


Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.


[Surah Al-Kahf: 11]


======


RahmatNya, tak terjangkau fikiran. 


Pemuda Kahfi dirahmati dengan kecukupan rezeki selama 309 tahun, meskipun tanpa makanan.


Pemuda Kahfi dirahmati dengan kesejahteraan & kesihatan selama 309 tahun meskipun tanpa seorang nurse yang memastikan badan mereka dibolak-balikkan agar tiada bed sores seperti pesakit yang terlantar atas katil. 


Pemuda Kahfi dirahmati dengan keselamatan selama 309 tahun meskipun mereka tidur di tempat yang tiada benteng atau pintu yang melindungi mereka daripada terlihat musuh. 


Saat ramai manusia bergantung hidup pada rezeki, harta & kepemilikan material, pemuda Kahfi membuktikan bahawa kebergantungan pada Allah SWT itu bahkan lebih menguntungkan. 


Sungguh,

Rahmat Allah SWT itu sesuatu yang tidak mampu difikir akal manusia. 


Justeru, 

berimanlah, 

berhijrahlah 

& berjihadlah.


Moga-moga rahmatNya melimpah-ruah ke atasmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan