Mencari Redha Ilahi


12 Mac 2024

6 Cara Supaya Tidak Ditimpa Ketakutan & Kesedihanp

 [6 Cara Supaya Tidak Ditimpa Ketakutan dan Kesedihan: Ibrah Ayat لا خوف عليهم ولا هم يحزنون dalam Surah al-Baqarah]


Terima kasih kepada Tadabbur Centre kerana membuka peluang untuk kami tadabbur ayat-ayat tentang لا خوف عليهم ولا هم يحزنون.


Selepas sesi pertama bersama Ustaz Syahmi Syazeril tadi tentang ayat 38 surah al-Baqarah, ia menyebabkan saya tidak boleh duduk diam. Saya cari dan terus mencari tentang ayat-ayat ini. Perasaan ingin tahu lebih dalam tentang ayat ini.


Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya, خوف merujuk kepada ketakutan apa yang akan berlaku di akhirat dan حزن pula merujuk kepada kesedihan terhadap apa yang menimpa di dunia.


Di dalam Surah al-Baqarah, kita akan mendapati ada 6 kali berulang ayat لا خوف عليهم ولا هم يحزنون. Ayat ini terkait rapat dengan emosi manusia iaitu emosi takut dan sedih.


Cuma persoalannya bagaimana cara untuk keluar atau berdamai dengan emosi ini mengikut petunjuk daripada ayat-ayat al-Quran? Apakah cara atau amalan yang perlu dibuat supaya kita tidak ditimpa ketakutan dan kesedihan.


Antara cara yang digariskan melalui ayat dalam surah al-Baqarah antaranya:


1- Mengikut petunjuk iaitu al-Quran.


{ قُلۡنَا ٱهۡبِطُواْ مِنۡهَا جَمِيعٗاۖ فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدٗى فَمَن تَبِعَ هُدَايَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ }

[Surah Al-Baqarah: 38]


Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita".


2- Beriman kepada Allah dan hari akhirat serta melakukan amal soleh


{ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَادُواْ وَٱلنَّصَٰرَىٰ وَٱلصَّٰبِـِٔينَ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا فَلَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ }

[Surah Al-Baqarah: 62]


Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.


3- Menyerahkan diri kepada Allah dan melakukan sebaik amal


{ بَلَىٰۚ مَنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٞ فَلَهُۥٓ أَجۡرُهُۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ }

[Surah Al-Baqarah: 112]


(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.


4- Membelanjakan harta dan tidak mengungkit pemberian


{ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتۡبِعُونَ مَآ أَنفَقُواْ مَنّٗا وَلَآ أَذٗى لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ }

[Surah Al-Baqarah: 262]


Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.


5- Menginfakkan harta siang dan malam dalam keadaan sembunyi atau terbuka


{ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُم بِٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ سِرّٗا وَعَلَانِيَةٗ فَلَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ }

[Surah Al-Baqarah: 274]


Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.


6- Beriman, beramal soleh, mendirikan solat, tunaikan zakat


{ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ لَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ }

[Surah Al-Baqarah: 277]


Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.


Insyaallah menantikan sesi seterusnya esok untuk kupasan ayat kedua bertemakan لا خوف عليهم ولا هم يحزنون.


Semoga Allah sentiasa mengilhamkan idea dan refleksi yang lebih baik semasa kita tadabbur al-Quran pada bulan Ramadan ini.


Nik Fatma Amirah


#NFTadabburRamadan2024

10 Mac 2024

Ay Rayyan

AR- RAYYAN

Teringat peristiwa tangki minyak kereta saya, yang kering di dalam perjalanan. 

Indikator meter memberikan amaran baki minyak. Akan tetapi, saya tak endahkan, walaupun sedang melewati beberapa stesen minyak. 

Menyangka saya akan sampai di stesen minyak pilihan hati. Akhirnya, saya terkandas, akibat kedegilan sendiri. 

Di rumah, kita tahu baki keperluan dapur. Kita tak mahu susah payah, kehabisan stok di saat sedang memasak. 

Sebelum beras, garam atau gula kehabisan, kita  bersiap sedia membeli, membuat persediaan. 

Bayangkan kita diberitahu oleh seorang doktor, penyakit kritikal kita semakin parah. Anggaran usia, hanya boleh bertahan beberapa bulan saja. 

Apa perasaan kita? Pasti sedih dan sukar untuk menerima ujian berat ini. 

Sesedih apa pun, kita mula tersedar untuk siapkan diri dengan bekalan amalan kebaikan, sebelum bertemu Tuhan. 

Tanyalah kepada sesiapa saja yang waras, pasti akan tahu usia mereka sekarang. Akan tetapi, baki umur adalah rahsia Tuhan. 

Baki usia kita di dalam genggaman, Al-Muhyi Yang Maha Menghidupkan, dan Al-Mumit Yang Maha Mematikan. 

Kita tak mungkin hidup tanpa kehendak Allah. Dan tiada kesulitan untuk Allah mematikan kita, walaupun satu saat.

Firman Allah SWT:
 
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan² yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. 

Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.”   
(Surah al-Baqarah:185)

Mengikut Imam al-Qurtubi, kalimah Ramadan berasal dari kata akar (رمض), yang bermaksud kepanasan yang dilalui oleh orang² berpuasa. Seolah-olah kepanasan itu akan membakar dosa² manusia, dengan amalan soleh mereka.  

Maka, marilah kita gunakan peluang umur yang berbaki, di bulan Ramadan tahun ini.  

Moga dengan bertambahnya ibadah, dapat menghapuskan segala dosa² kita. 

Ketika kita merasa penat seharian bekerja, dan berlapar berdahaga, pujuklah diri dengan keistimewaan luar biasa yang dijanjikan Tuhan. 

Bulan yang dipilih oleh Allah untuk diturunkan al-Quran, yang penuh keberkatan. 

Bulan yang dijanjikan keampunan dan ar-Rayyan, salah satu pintu di syurga, khusus untuk orang² ikhlas berpuasa.

Semoga Allah berikan kita kesihatan yang baik, untuk bersungguh menjalankan ketaatan kepada-Nya. 

Agar setiap hari kita, dipenuhi dengan bacaan al-Quran sambil merenung pesanan Tuhan.
 
Dengan penuh harap, agar Allah merahmati kita  sebagai "VIP istimewa," yang layak memasuki pintu ar-Rayyan di akhirat nanti. 

Semoga setiap usaha dan amalan kita diterima-Nya dengan penuh rahmat dan ampunan. 🤲
                         والله أعلم

#ramadan2024

Sabar

 Sabar seorang Yusuf (A.S) adalah sabar yang proaktif, sabar yang membuat beliau bertumbuh, bukan sabar yang membuat beliau melumpuh. Sabar yang meneguh, bukan sabar yg merapuh. Plot demi plot yang terbentang bukan SEKADAR cerita tentang suasana. 


Tetapi ianya adalah cerita yang MENUNJUKKAN PROSES. Ramai antara kita berada dalam proses yang sama. Dalam proses ini - ada pilihan yang terbentang. Sekali lagi, surah Yusuf mengajar kita tentang bagaimana MEMILIH PERSPEKTIF lantas BERSIFAT DECISIVE berlandaskan persepektif yang telah dipilih. Ini level juara, bukan level biasa-biasa. Nampak tulisan yang ditulis ini mungkin biasa-biasa, tetapi apabila dibentangkan faktanya daripada Al Quran, pasti kita ternganga. 


Memahami definisi sabar dari surah Yusuf akan menjadikan kita sosok yang fokus kepada wawasan akhirat. Akan menjadikan kita sosok yang SENYUM dan bahagia dalam sabar. Sosok yang MENIKMATI APA ITU SABAR. 


Sabar yang dinikmati adalah sabar yang akan tertulis sebagai ibadah, ianya sama sekali bukan sabar yang terjadi kerana mengalah atau hasil dari avoidant personality. Ya, anda baca dengan betul; “avoidant personality.” 


Bolehkah manusia depressed kerana bersabar? 


Jika dilihat dari konteks syarak; tidak. Sabar bukan punca depression, tetapi pendam - ya. Untuk sebahagian situasi, ada persamaan antara SABAR dan PENDAM. Tetapi pada makna yang lebih mendalam - kesan dan pelaksananaan keduanya adalah jauh berbeza. 


Apakah sabar membuatkan kita tidak bersedih dan sentiasa ceria? Tidak. 


Sabar bukan bermakna kita dismiss perasaan sedih atau perasaan itu sama sekali tidak wujud. Tetapi, sabar itu adalah sebuah emosi yang konstruktif dan DIREKTIF - iaitu sejenis sabar yang memang pasti “mengarahkan” jiwa kepada ALLAH. 


Kembali kepada ALLAH sebagai satu jalan transformasi diri. Di sini constant growth akan berlaku bagi orang yang bersabar dengan jalan yang benar dan akhirnya - berakhir di puncak kehidupan sebagai sosok penuh pengalaman, manfaat dan pengaruh iman ke atas orang lain. 


Banyak ayat Quran cerita tentang sabar. Hal ehwal sabar yang kita fahami tidaklah sebatas berdiam diri atau merelakan semua terjadi kerana kita “helpless”. Ia berbeza dengan definisi sabar yang Al Quran ajar. 


Jika definisi sabar kita adalah melahirkan orang yang layu, ini tidak benar. Sabar dalam Islam melahirkan karakter pahlawan. Sabar itu bukan sekadar pada iman atau berdiamnya tindakan, tetapi adalah pada pemikiran dan perspektif dalam memahami hikmah di sebalik kejadian. 


Apa yang ditulis ini bukanlah kata-kata kosong melainkan semuanya ada di balik Surah Yusuf. 


Jemput ke seminar Surah Yusuf untuk ketahui lebih mendalam. InshaALLAH, bukan kupasan Google atau dari buku sedia ada. 


Dengan izin dan bantuan ALLAH semata, saya akan berusaha sampaikan dalam bentuk yang relatable sehingga anda akan jatuh cinta dengan surah ini dan memandang erti sabar dan kehidupan tidak lagi seperti biasa, kerana ayat-ayat ALLAH itu sentiasa luar biasa. Saya sekadar penyampainya sahaja. InshaALLAH.

Tentang Berdoa



TENTANG BERDOA

Ustaz Syaari Ab Rahman


"Al Fatihah bukan sekadar surah.


Ia adalah doa.


Maka setiap kali kita membaca 7 ayat ini semasa qiyam (berdiri) di dalam solat;


IA ADALAH PERMINTAAN HAMBA KEPADA TUHANNYA.


“Ya Allah, saya mohon pertolongan-Mu. Saya ini, banyak benar masalah,”


Ramai orang tidak menyedari surah Al Fatihah tidak hanya sebagai ayat Al Quran, tetapi Allah bantu dan beri panduan bagaimana bertertib dengan Dia.


Tidak ada sesiapa masuk ke istana terus memohon kepada Raja;


“Tuanku, bantulah saya!”                       


Tak boleh begitu. Bukankah istana ada senarai protokol yang perlu dipatuhi?


Sebelum memohon, terlebih dahulu raja itu perlu dipuji-puji.


“Apa istimewanya kamu untuk Aku segerakan permohonanmu, sedang Aku sendiri tak pernah ada dalam hidup kamu?” (buk!)


Lalu Allah bimbing, andai mahu doa mustajab, maka inilah yang perlu dipatuhi;


Puji Allah, kemudian baru minta tolong.


Alhamdulillahi robbil alamin.


Puji lagi; Ar Rahmani Rahim.


Puji lagi; Maliki yau middin.


Apabila selesai memuji, barulah panjangkan permohonan.


Ini kata laluan untuk ‘masuk ke dalam istana’. Sering kali kita berkehendakkan sesuatu daripadaNya, tanpa silu kita terus meminta. Adab langsung tiada. Seolah-olah tak kenal siapa itu Allah. Dia hanya dicari semasa dalam masalah. Apabila sudah senang, terus Dia kita lupakan (nauzubillah).


Agama ini, terasnya adalah solat. Sesiapa yang memelihara solat, inshaAllah agamanya terpelihara.


Dan teras solat, adalah AL FATIHAH.


‘Mohonlah pertolongan daripada Allah dengan SABAR dan SOLAT’.


Apa maksud sabar? Kenapa sabar yang disebut dahulu?


Kerana dalam solat, ramai yang tak sabar.


Dalam solat, dibacanya Al Fatihah sekadar baca. Dia tidak sabar untuk memahami setiap ayat, hanya mahu mengejar salam sahaja.


Maka, jika mahu permintaan dimakbulkan, dalam solat perlu ada unsur SABAR. Dalam solat, jangan tergesa-gesa. JANGAN BERSOLAT HANYA KERANA IA ADALAH KEWAJIPAN. Kita solat kerana mahu minta tolong.


Sebab itu, kalau ada kesempatan solat sunat; BACA AL FATIHAH PERLAHAN-LAHAN seolah-olah itu skrip yang Allah beri.


PATUHI SKRIP INI, IA ADALAH RAHSIA UNTUK 7 PETALA LANGIT MENERIMA PERMINTAANMU DAN IA DIPERKENANKAN ALLAH.


***


Ada 3 tips/rukun untuk doa mustajab.


1.Puji Allah dahulu.


“Ya Allah, Dikau Maha Pengasih, Maha Penyayang; apa sahaja masalah yang sedang aku hadapi adalah perkara baik yang datang daripadaMu. Aku takkan bersangka buruk padaMu, wahai Allah,”


Jangan buruk sangka pada Dia semasa kita menghadapi cabaran hidup.


2. Kita memohon HANYA pada Allah.


3. Yang terakhir ini ramai terlepas pandang;


Andai doa ini mustajab, KITA AKAN GUNAKAN IA UNTUK APA?


Misalnya kita mohon rezeki anak, sudah bertahun-tahun kahwin belum memiliki anak, lalu kita ikut langkah di atas.


”Segala puji bagiMu, Allah. Pasti ada sebab mengapa Dikau belum mengurniakan kami anak. Kurniakanlah kami anak, wahai Allah,”


Doa sungguh-sungguh, angkat tangan betul-betul. Tanda orang tak bersungguh, mengangkat tangan pun dia enggan. Letak atas kepala lutut saja.


Dan yang ketiga kena sebut;


 ‘Aku perlu anak ini, untuk tujuan apa?’


‘Aku mahu wang yang banyak, untuk buat apa?’


Belajar daripada Nabi Zakaria;


“Ya Allah, aku mahukan anak. Tapi bukanlah aku mahukannya hanya kerana iri orang lain semua ada. Aku mahukan anak kerana dia diperlukan untuk membantuku mengajar Taurat kepada Bani Israel,”


Baginda kaitkan permohonannya dengan agama.


Begitulah ibrah daripada surah Al Fatihah. Biar apa pun yang kita minta, di hujungnya ia perlu membuatkan kita untuk terus komited di jalan yang lurus.


‘Ya Allah, aku memohon kesihatan daripadaMu. Mudah-mudahan dengan tubuh yang sihat, ibadahku akan bertambah banyak dan khusyuk’.


‘Allah Tuhanku, kelihatannya rezekiku agak tertahan pada bulan ini. Banyak benar wang yang keluar. Limpah ruahkanlah rezeki dari arah yang tidak aku duga, wahai Allah. Dan aku berjanji, dengan rezeki ini, aku akan bersedekah setiap Jumaat sebanyak rm10’.


Pastikan apa yang Allah beri, kita pulangkan kembali untuk kepentingan agama.


Ada orang minta wang daripada Allah, tapi terlupa dia pada rukun yang ketiga.


Allah beri dia harta, tetapi dia bertukar diri menjadi Qarun.


Qarun itu diberikan Allah apa saja yang dia minta, namun oleh sebab tiada rukun yang ketiga; pertambahan kekayaannya menyebabkan dia semakin lalai, menunjuk-nunjuk malahan khianat pula kepada Nabi Musa dan bani Israel.


Akhirnya, dia mati dalam keadaan suul khotimah.


**


Kita pula hari ini, mahukan anak anak cemerlang dalam peperiksaaan.


Tanya semula diri sendiri, ‘kenapa berharap benar untuk anak cemerlang?’


Pastikan ia terkait kembali pada agama,"


#OlahanVideoWaridahLothpi

Pelan tadabur alquran

 BismilLah..

Dalam Seminar Ramadan (SINAR) Siri 1.0, Ustaz Syaari Ab Rahman telah berkongsi tentang:


🎯(i) ‘Ring composition’ dalam surah al-Baqarah;

🎯(ii) ‘Ring composition’ bagi ayat 185 surah al-Baqarah (satu-satunya ayat yang menyebut kalimah Ramadan dalam al-Quran); dan

🎯(iii) Langkah-langkah untuk berinteraksi dengan al-Quran, terutamanya dalam bulan Ramadan:

=====

🧠8 STEPS FOR MEANINGFUL INTERACTION AND “TADABBUR” ON THE QURAN DURING THIS RAMADAN:


🌱1. R - RECITE the Quran with proper Tajweed and melodious recitation to enhance your spiritual experience with these words of God. (75:16-19)

= Berusahalah untuk membaca al-Quran dengan bacaan yang baik, betul sebutan makhrajnya & tertunai semua hak hurufnya.


🌱2. A - ABSORB the basic meaning of each ayah or have a good reference from any tafsir when dealing with seemingly 'complicated' ayah. (3:7)

= Bacalah tafsir yang ringkas sebelum sesuatu ayat itu ditadabbur.


🌱3. M - MEDITATE on the historical context of revelation, visualizing the time and circumstances of Prophet Muhammad SAW or his companions for deeper understanding. (25:33)

= Sentiasa bertanya soalan, "bilakah & bagaimanakan situasi / keadaan Nabi SAW & para sahabat ketika ayat al-Quran ini diturunkan?" agar pemahaman tentang ayat lebih mendalam.


🌱4. A - ANALYZE selected Quranic verses with a critical mind and heart, seeking profound insights and wisdoms that resonate with your life. (47:24)

= Tadabbur ayat al-Quran dengan minda & hati yang mahu mencari hikmah & peringatan yang dekat dengan pengalaman & kehidupan kita sendiri.


🌱5. D - DISCUSS with your groups or find colleagues, fostering diverse perspectives to enrich your understanding about an ayah or surah. (34:46)

= Berbincang dengan kumpulan & sahabat untuk mendapat perspektif yang pelbagai tentang sesuatu ayat al-Quran agar dapat membantu menambah kefahaman.


🌱6. H - HAVE TIME to engage with lectures from scholars or asatizah in the field of linguistics and tafsir to grasp the nuances of Quranic Arabic and intertextual (tanasub) references. (4:82)

= Peruntukkan masa untuk mendalami bahasa Arab Quran & ilmu tanasub dengan merujuk / menghadiri kuliah yang berkaitan sebagai rujukan.


🌱7. A - ACQUIRE multidisciplinary knowledge and documentaries related to the Quran, ranging from sciences to history, to appreciate its comprehensive wisdom. In Quran, a word is a world ! (31:27)

= Pelajari kepelbagaian disiplin ilmu ketika membaca ayat-ayat Allah.


🌱8. N - NURTURE the power of memorization and recitation, embedding the verses in your heart, and implementing it in your nightly prayers and reflections. (54:17, 22, 32, 40)

= Berusaha untuk menghafal ayat-ayat al-Quran agar dapat melihat apa yang ada di sekeliling kita dengan cara yang Tuhan mahu (Quranic lens / Quranic perspective).

======

Firman Allah:


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ  وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ  إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ ١٨


Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (Al-Hashr : 18)

....


Moga RAMADAN yang bakal kita lalui nanti 

menjadi lebih bermakna dengan bekalan AL-QURAN di jiwa, 

agar kita dapat menjadi hamba Allah 

yang sentiasa bersyukur & bertaqwa.


WalLahu a'lam wa BarakalLahufiikum 🌹


.:SyafiniRomli:.

10 Mac 2024

29 Syaaban 1445H


Telegram: PujukHatiDenganAlQuran

https://t.me/PujukHatiDenganAlQuran


#notasyafini

#damaidenganalquran

#SINAR #SeminarRamadan

#AlMukhbitun

Pelan pengajian anakhafiz

 PELAN PENGAJIAN ANAK HAFIZ


Ramai tanya saya, apa nak buat bila kita berminat sangat nak masukkan anak ke full tahfiz tapi masalahnya keluarga tak setuju. Lagi lah bila yang tak setuju tu adalah si suami.


Macamana nak yakinkan mereka ?


Caranya, kita "bentangkan" Pelan Pendidikan anak dari umur sekarang hingga umur anak keluar dari  universiti supaya mereka tahu yang masuk ke madrasah full tahfiz tak bermakna anak takde masa depan yang lebih cemerlang dalam kerjayanya...malah dia boleh jadi lebih baik dari orang lain..sebab di dadanya ada 30 juzuk Al Quran. InsyaAllah.


Sebab apa lebih baik?


Sebab, kalau nanti dia jadi engineer, dia engineer yang hafiz


Kalau doktor, doktor yang hafiz


Kalau lawyer, kaunselor, pakar ekonomi...juga yang ada title Al Hafiz.


Tapi ini bukan title Al Hafiz yang biasa-biasa. Ini Al Hafiz yang HAFAZ 30 juzuk dan INGAT 30 juzuk. Al Hafiz jenis ini kebiasaannya mampu dilahirkan di madrasah-madrasah full tahfiz yang tiada akademik.


Baiklah. Apa yang perlu dibentang pada mereka ?


PELAN PENDIDIKAN ANAK


▪️Umur 4 hingga 6 tahun

Anak mula diajar Al Quran bermula dari Iqra. Sebaiknya ibu ayah ajar sendiri di rumah supaya anak cepat khatam. Usahakan anak khatam Al Quran seawal 6 tahun supaya semasa di darjah 1 anak sudah boleh mula diajar menghafal juzuk 30 dengan hukum bacaan yang betul.


Dari segi pemilihan tadika, pilih yang ada sistem Cepat Membaca supaya anak dah kuasai 3M bila naik ke darjah 1 nanti. 


▪️Umur 7 - 10 

Daftarkan anak di sekolah integrasi tahfiz supaya pergaulannya lebih terjaga. Integrasi Tahfiz = sekolah yang ada subjek Hafazan. Jika kawasan kita tiada sekolah integrasi, boleh aje daftarkan di sekolah kerajaaan biasa. Cuma pemantauan ibubapa kena lebih dari segi pemakaian, pergaulan anak dan aktiviti2 sekolah yang anak boleh dan tak boleh sertai.


▪️Umur 11 hingga 15

Daftar ke madrasah full tahfiz. 

Targetkan anak habis hafaz selewatnya dalam masa 3 tahun. Tapi jangan terkejut kalau ada yang habiskan hafaz 30juzuk dalam masa 4-5 tahun lebih-lebih lagi kalau anaknya perempuan sebab isu haid. Bayangkan kalau haidnya 15hari, kiranya dalam sebulan menghafal hanya 15 hari yang berbaki. 


Masa daftar ke madrasah tahfiz ni, pastikan anak sudah menguasai tajwid dengan baik supaya anak cepat layak ke Kelas Hafazan. Jika anak masuk ke madrasah dengan tajwid yang longgar, anak akan lama di Kelas Nazirah (kelas asas al quran). Bila lama di kelas Nazirah, maka terjejaslah target masa hafazan anak...terjejas jugalah pelan yang telah kita rancang.


▪️Umur 15 dan 16

Ini biasanya umur untuk anak berada di Program Syahadah yang akan berlangsung selama 12 bulan setelah khatam 30 juzuk. Program ini sangat penting buat para huffaz supaya hafalan mereka lebih mantap dan supaya mereka nanti keluar sebagai huffaz yang ingat 30 juzuk.


▪️Umur 16 dan 17

Jika anak tamat hafaz seperti yang dirancang, masa anak umur 16 tahun, daftarkan anak ke Tingkatan 4. Semasa umur 17, anak mengambil SPM. Hanya perlu ke PPD berdekatan untuk dapatkan surat penempatan ke Tingkatan 4 di sekolah yang dipilih.  


Di sekitar Johor, terdapat 4 buah sekolah menengah yang menyediakan Fast Track SPM untuk pelajar-pelajar tahfiz berusia antara 17-18 tahun (Program Intervensi Tahfiz) - belajar 1 tahun di tingkatan 5.


i. SMK Bekok, Segamat

Pautan permohonan: https://cutt.ly/RTWtQOo


ii. SMK Benut, Pontian

Pautan permohonan: https://forms.gle/Lk1hkrzXn7tJoxqH8


iii. SMK Simpang Renggam, Kluang

Pautan permohonan: https://forms.gle/Dvd7FgJbyeR18sAZ7


Namun suka diingatkan, mata pelajaran di sekolah-sekolah ini mengikut mata pelajaran di sekolah biasa iaitu TIADA Bahasa Arab/Al Quran Wa Sunnah/Syariah Islamiah. Kiranya sekolah-sekolah sebegini sesuai untuk pelajar yang tidak berminat untuk mengikuti pengajian agama di peringkat STPM/Universiti. 


Bagi ibu ayah yang berkemampuan, saya suka mencadangkan untuk ibu ayah tempatkan anak hafiz ini di sekolah-sekolah integrasi under Ikram Musleh kerana pergaulan dan adab pelajar-pelajar di sana lebih terjaga. 


Senarai sekolah Ikram Musleh boleh klik sini : https://musleh.edu.my/


Anak sulung saya berdaftar di sekolah under Ikram Musleh ni ketika dia berusia 17 tahun (masuk Form 4).


Tapi jika anak tamat hafaz/syahadah agak lewat boleh terus daftarkan untuk Fast Track SPM sama ada di, 


1. Akademi Lembah Ilmu (selangor) : https://www.lembahilmu.my/


2. KUIM Melaka : http://www.kuim.edu.my/pusatislam/index.php/ms/ketua-pusat-islam-as-syafie-kuim/19-program-tahfiz-bestari-persediaan-spm


3. UNISEL : https://www.smarttahfiz.edu.my/


Tempat-tempat ini insyaAllah sesuai untuk anak hafiz kita yang berusia 18 tahun ke atas kerana menyediakan pengajian dengan suasana kolej.


Satu lagi sekolah menengah islam swasta di Johor yang menyediakan fast track SPM dan dalam masa yang sama menitikberatkan pengulangan hafazan adalah Sekolah Menengah Islam At Tanwiriah, Muar, Johor (bayaran rm600 termasuk asrama).


Anak perempuan saya yang kedua selepas tamat syahadah insyaAllah mengambil Fast Track SPM nya di sini ketika berusia 17 tahun (daftar 2024)


Pun begitu, jika ibu ayah risaukan pergaulan mereka, boleh aje tempatkan mereka di fast track tahfiz yang disediakan oleh madrasah seperti kalau di Johor,

1. Madrasah An Nur, Muar

2. Madrasah Al Jauhar, Kota Tinggi (lelaki sahaja)


Atas alasan ini lah, anak perlu ke madrasah tahfiz seawal 11 tahun, bukannya tunggu dia tamat darjah 6 supaya anak dapat khatam awal, dapat sudahkan syahadah tahfiz dahulu sebelum menduduki SPM.


▪️Selepas SPM Nak Sambung Ke Mana?


Ada beberapa pilihan


✔Universiti Malaya / UIA / KUIS dll - memohon ke program Asasi Agama

✔Universiti Sains Islam Malaysia - memohon ke program Tamhidi Syariah dan Undang-undang

✔Universiti Awam/Swasta - program matrikulasi dan diploma

✔Universiti Madinah/Mesir/Jordan - bidang Pendidikan Islam, Qiraat, Farmasi, Perubatan, Pergigian.


PERMOHONAN KE UNI ISLAM MADINAH AL MUNAWWARAH 

http://www.abuanasmadani.com/wp-content/uploads/2012/11/Maklumat-dan-Syarat-Permohonan-Belajar-Di-Universiti-Islam-Madinahbaru-1.pdf


PERMOHONAN KE MESIR/JORDAN

https://www.infoupu.com/permohonan-pengajian-timur-tengah/


Jika anak tidak mahu mengambil program asasi/diploma/ke luar negara, untuk pilihan bidang ijazah yang lebih luas, anak boleh mengambil STPM Tahfiz sebelum memilih pelbagai program ijazah sarjana muda di universiti tempatan.


Senarai pusat tingkatan enam yang menawarkan STPM aliran tahfiz.👇

1. SMK Agama Putrajaya

2. SMK Agama Kedah

3. SMK Agama Kerian

4. SMK Agama Maahad Muar

5. SMK Agama Tok Bachok

6. SMK Agama Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail

7.SMK Agama Kota Kinabalu

8 SM Imtiaz YT Kemaman

9.SMK Agama Sheikh Hj. Othman Abd Wahab, Kuching


SYARAT-SYARAT PERMOHONAN

1. Warganegara berumur tidak kurang 17 tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

2. Lulus peperiksaan SPM

3. Minimum C Pendidikan Islam/ Pendidikan Syari'ah  Islamiah/ Pendidikan  al-Quran  dan al-Sunnah

4. Minimum C Bahasa Arab 

6. Telah menghafaz minimum 7 juzuk.


Jadi, jika kita merancang untuk anak ambil STPM Tahfiz, pastikan masa di peringkat SPM, anak mengambil senarai mata pelajaran yang diperlukan seperti di atas. 


PERMOHONAN KE TINGKATAN ENAM (STPM) ALIRAN TAHFIZ 

https://www.permohonan.my/permohonan-tingkatan-6-tahfiz-kpm/


Selesai ijazah sarjana muda, anak juga boleh menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD jika berminat menjadi pakar akademik.


Bayangkan setelah kita menerangkan Pelan Pendidikan yang se-detail ini....adakah pasangan atau keluarga kita masih tegar berkata tidak setuju ?😅


Semoga penulisan ni dapat membantu ibu ayah merancang yang terbaik untuk anak masing-masing😊


Kalau ada apa2 persoalan atau penambahan ilmu/info, saya alu-alukan untuk tulis di ruangan komen.


CikguShainiRazali

Page Aku & Tahfiz

Tadabbur Ayat 14 Surah Al-Baqarah

 Assalamu’alaikum wa rahmatullahi. Di sini dikongsikan penerangan tadabbur ayat 14 surah 2: al - Baqarah oleh Ustaz Abd Muein Abd Rahman.


Berikut ialah transliterasi dan makna ayat 14 Surah 2: al – Baqarah.


Transliterasi dan makna ayat 14 Surah 2 : al - Baqarah

(Mohon dibaca sambil merujuk al- Quran agar sebutan bacaan tepat. Jazakumullahu khairan)


a’uzu = Aku berlindung

bi = dengan

Allahi = Allah

min = daripada

asy- syaitani = syaitan

ar-rajimi = yang direjam.


wa = Dan 

iza = apabila

laqu = mereka telah bertemu (dengan)

allazina = orang-orang yang

amanu = beriman

qalu = mereka telah berkata,

amanna = ‘Kami telah beriman.’

wa = Dan 

iza = apabila

khalau = mereka telah bersendirian

ila = dengan

syayatini = syaitan-syaitan

him = mereka,

qalu = mereka telah berkata,

inna = ‘Sesungguhnya kami

ma’a = bersama (sependirian dengan)

kum = kamu semua,

innama = hanyalah

nahnu = kami

mustahzi-una = orang-orang yang berolok-olok.’ (14)


Dalam ayat 13, disebut orang munafik mengatakan orang beriman bodoh tetapi dalam ayat 14 disebut apabila orang munafik bertemu dengan orang beriman, mereka mengaku beriman disebabkan mereka ada penyakit takut kepada manusia. 


Penyakit paling merbahaya ialah takut kepada manusia tetapi tidak takut kepada Allah. 


Dan apabila orang munafik kembali kepada syaitan- syaitan mereka iaitu orang- orang kafir, mereka mengatakan mereka hanya berpura-pura beriman.


Syaitan ialah sifat, bukan makhluk.


Perkataan ‘syaitan’ berasal daripada perkataan ‘syatuna’ maknanya ‘ba’uda’ iaitu telah jauh. 


‘Ba’idun’ atau ‘syaitan’ ialah orang atau makhluk yang telah jauh. 


Jom kita perhatikan maksud ayat berikut yang jelas menunjukkan bahawa syaitan bukanlah makhluk tetapi sifat.


Dan seperti itulah Kami telah menjadikan bagi setiap Nabi itu suatu musuh, syaitan -syaitan (daripada jenis) manusia dan (daripada jenis) jin.

- ayat 112 surah 6: al- An’am.


Orang yang mengajak kepada kemungkaran ialah syaitan dan menjadi musuh kita. (walau pun kawan atau suami kita)


Sifat tercela orang munafik ialah mereka tiada pendirian.


Sama-samalah kita perhatikan maksud ayat berikut.


Tiada pendirian antara yang demikian itu (iman atau kafir), tidak kepada golongan ini (orang-orang beriman) dan tidak kepada golongan itu (orang-orang kafir).

- ayat 143 Surah 4: an-Nisa’.


Punca mereka tiada pendirian ialah mereka mencari redha manusia. Mereka juga berpihak kepada sesiapa yang boleh menguntungkan mereka dari segi material seperti tersebut dalam ayat berikut.


Dan daripada kalangan mereka ada orang yang mencela kamu tentang (pembahagian) zakat.

Maka jika mereka telah diberikan sebahagian daripadanya, mereka berpuas hati.

Dan jika tidak mereka diberikan sebahagian daripadanya, kemudian mereka menjadi marah. 

- ayat 58 Surah 9 : at- Taubah.


Jom kita perhatikan maksud hadith berikut pula.


Daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata bahawa Nabi saw bersabda:

Celakalah hamba dinar dan dirham dan qatifah dan khamishah. 

Jika dia diberikan (benda-benda tersebut) dia berpuas hati, tetapi jika tidak diberikan, dia tidak berpuas hati.

- Hadith riwayat Bukhari no. 2886. Kitab 56 (Jihad), Bab 70.


Dalam hadith di atas, Nabi saw mencela orang yang menyembah selain daripada Allah tetapi bukan dalam bentuk berhala iaitu menjadi hamba wang dan pakaian mewah.


Ada juga orang yang menjadi hamba rumah, asyik kemas rumah sampai tak sempat nak lakukan amalan soleh. Atau pun menjadi hamba kereta, hamba pinggan-mangkuk, hamba telefon, hamba barangan antik, dsb

Sinopsis

 Apa jua sinopsis surah atau sinopsis juzuk al-Quran yang sampai ke tangan kita, dalam apa bahasa pun, dengan apa pendekatan penulisan pun, maka manfaatkanlah sebaik mungkin. Namun masuklah sendiri ke dalam al-Quran itu, membacanya setiap ayat Tuhan itu dengan perlahan-lahan, merenung terjemahan dan tafsirannya, mengembaralah ke dalam alam al-Quran dengan penuh tanda tanya, seolah-olah kita tidak pernah membaca apa-apa sinopsis pun sebelum ini, benar-benar mengharapkan petunjuk Tuhan sepenuhnya untuk meneruskan kehidupan, kita tundukkan hati dan emosi kita sepenuhnya pada apa jua yang bakal Tuhan firmankan pada kita, bersedia untuk melakukan apa sahaja yang Tuhan sampaikan kepada kita untuk bertindak demi mengecapi makna sebenar bahagia dari Pencipta bahagia.

04 Mac 2024

Al Fatihah Ayat 7

Ttadabbur ayat 7 surah al- Fatihah bahagian 2 


Apakah pula yang dimaksudkan ‘nikmat yang Allah berikan’ kepada mereka?


Sama-samalah kita perhatikan maksud ayat berikut.


Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian.

Dan Aku telah cukupkan (lengkapkan) ke atas kalian nikmatKu.

Dan telah Aku redhai untuk kalian Islam itu (sebagai) agama. 

- ayat 3 Surah 5 : al- Ma-idah.


Nikmat Allah ialah agama Islam yang telah Allah lengkapkan pada waktu Rasulullah saw masih hidup. Bukan Islam yang ditokok- tambah selepas itu, yang tidak berasaskan dalil al-Quran atau sunnah. Islam yang ditokok- tambah tidak Allah terima atau redha.


Antara ciri yang paling jelas pada golongan yang Allah telah berikan nikmat ialah mereka berilmu dan beramal dengannya.


Golongan orang-orang yang dimurkai ke atas mereka ialah orang-orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengannya.


Contoh paling ketara ialah orang-orang Yahudi yang ada kitab Taurat tetapi tidak beramal dengannya. Malah ada yang melampau dan menukar isi kandungan kitab Taurat. 


Dalam ayat di atas, Allah sandarkan ‘memberi nikmat’ kepadaNya. Ini bererti hanya Allah yang boleh memberi nikmat kepada kita.


Sedangkan dalam ayat yang sama, ‘dimurkai ke atas mereka’ tidak disandarkan kepada Allah.


Sama-samalah kita perhatikan maksud ayat- ayat berikut.


1. Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati.

- ayat 159 Surah 2 : al- Baqarah.


Orang-orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengannya dilaknati oleh Allah dan semua makhluk. Laknat jauh lebih teruk daripada marah kerana laknat ialah jauh daripada rahmat Allah. Tanpa rahmat Allah, seseorang tidak mungkin masuk syurga.


2. Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu semua mengatakan apa yang tidak kamu semua kerjakan. Amat besar kebencian (kemurkaan) di sisi Allah bahawa kamu semua mengatakan apa yang tidak kamu semua kerjakan.

- ayat 2-3 Surah 61 : Ash-Shaf.


3. Apakah kalian menyuruh manusia dengan (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kalian melupakan diri kalian sendiri, padahal kalian membaca Al-Kitab (Taurat)?   Maka apakah tidak kalian berfikir?

- ayat 44 Surah 2 : al- Baqarah.


Terdapat sebuah kisah tentang seorang Yahudi yang menyuruh anaknya yang sedang nazak mengikut perintah Nabi saw mengucap dua kalimah syahadah sedangkan dia sendiri tidak beriman.


Kita, orang Islam, juga boleh termasuk dalam golongan yang dimurkai kalau kita tidak mengamalkan apa yang kita dah belajar.


Siapakah pula yang dikatakan golongan yang sesat?


Mereka adalah: 


1. orang-orang yang tidak berilmu tetapi beramal.


Mereka ini beramal tanpa dalil yang sahih tetapi mengikut adat atau berdasarkan ikut-ikutan.

Contohnya membaca surah al-Waqi’ah sebelum tidur untuk mencegah kefakiran.

(tidak ada dalil yang sahih).


2. orang-orang yang tidak berilmu dan tidak beramal.


Golongan yang sesat bukan saja orang Nasrani tetapi juga orang Islam yang beramal tanpa ilmu iaitu melakukan amal ibadah tanpa dalil yang sahih daripada al-Quran atau hadith. Juga termasuk dalam golongan ini ialah sesiapa saja yang tidak belajar dan tidak melakukan amal ibadah.

Amal Palsu

 Bayangkan. 

Sudah bertahun-tahun memiliki emas. 

Tiba suatu ketika, perlu menggadaikannya kerana terdesak. 


Bila tiba di kedai emas, semua emas yang ada diperiksa, lalu dijawab.


"Maaf. Kami tak boleh timbang emas ni. Tiada nilai. Sebab emas palsu." 


"Aik.."


Jika situasi tersebut berlaku pada anda, rasa macam mana? 

Kecewa sungguh-sungguh. 

Bila sesuatu yang selama ni dianggap berharga, tiba-tiba baru tahu rupanya tiada nilai sehinggakan tidak dapat ditimbang. 


Akhirat kelak, di timbangan mizan, akan berlaku fenomena amal yang selama ini dianggap bernilai, rupa-rupanya hanya debu. Tiada nilai. Tidak ditimbang. 


=====

 قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِینَ أَعۡمَـٰلًا (103) ٱلَّذِینَ ضَلَّ سَعۡیُهُمۡ فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا وَهُمۡ یَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ یُحۡسِنُونَ صُنۡعًا (104) أُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ بِـَٔایَـٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَاۤىِٕهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فَلَا نُقِیمُ لَهُمۡ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ وَزۡنࣰا (105) 


Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

[Surah Al-Kahf: 103-105]

=====


Bukan emas sahaja yang palsu.

Rupa-rupanya, amal palsu juga wujud. 


Kalimah صُنۡعًا dalam ayat tersebut merujuk pekerjaan yang dilakukan dengan perancangan rapi, penuh kemahiran. Bukan perbuatan biasa-biasa. Suatu pekerjaan yang mengerah harta, tenaga & masa. 


Tapi, pekerjaan tersebut sia-sia

 Tidak dinilai di sisi Allah SWT.


Kenapa sia-sia? 

Salah satunya mungkin si pelaku membuat sekecil-kecil zarah perbuatan yang menghapuskan amal. 


======

{ فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَیۡرࣰا یَرَهُۥ (7) وَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةࣲ شَرࣰّا یَرَهُۥ (8) }

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!


[Surah Az-Zalzalah: 7-8]

=====


Walau sebagus apapun amal. 

Andai terselit sekecil-kecil zarah perbuatan penghapus amal (riak, ujub, manna wal aza etc), apa yang dilakukan bernilai kosong. 


Dah sedekah, tolong orang, tapi ungkit & sakitkan hati si penerima sedekah...

Habis. 


Dah penat-penat bangun solat tahajjud, pada sebelah paginya, khabarkan pada kawan-kawan sepejabat sebab mahu dilihat "soleh"...

Habis.


Dah bayar zakat, dah pergi haji, kemudian upload di media sosial dengan niat orang memuji dan bercakap-cakap akan ke"soleh"an diri.

Habis. 


Ketika belajar ayat-ayat ini dalam sesi #TAMAR2024 semalam, memang rasa gerun. 


Peliharalah amal.

Pelajarilah Al-Quran, 

Belajarlah ilmu agama. 

Agar setiap pekerjaan & perbuatan punyai nilai di sisi Allah SWT. 


Jangan sampai hanya di akhirat, baru tersedar. 

Sedangkan saat itu, segalanya terlambat. 

Yang diharapkan syurga, rupa-rupanya perjalanan amal membawa ke neraka, naudzubillah.


=====

{ وَمَنۡ خَفَّتۡ مَوَٰزِينُهُۥ فَأُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ فِي جَهَنَّمَ خَٰلِدُونَ }


Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam -


[Surah Al-Muʾminūn: 103]

=====

Al-Baqarah Ayat 1


Transliterasi dan makna ayat 1 Surah 2 : al - Baqarah

  (Mohon dibaca sambil merujuk al- Quran 

agar sebutan bacaan tepat. Jazakumullahu khairan)


a’uzu = Aku berlindung

bi = dengan

Allahi = Allah

mina = daripada

asy- syaitani = syaitan

ar-rajimi = yang direjam.


bi = Dengan

ismi = nama

Allahi = Allah

ar-Rahmani = yang Maha Pemurah,

ar-Rahimi = yang Maha Penyayang.   


alif lam mim = alif lam mim (1)


Surah al- Baqarah ialah surah Madaniyah iaitu ia diturunkan selepas Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah tetapi ia adalah surah yang kedua dalam susunan al- Quran. Susunan sesuatu surah dalam al-Quran tidak menurut tertib ianya diturunkan kepada Nabi saw.


Begitu juga dengan surah al- Fatihah. Ia ialah surah pertama dalam susunan al- Quran sedangkan ayat-ayat yang pertama diwahyukan ialah ayat 1- 5 surah al-Alaq.


Ayat-ayat al-Quran diturunkan mengikut keperluan semasa berdasarkan peristiwa yang berlaku atau soalan yang ditanya.


Susunan surah-surah  yang ada dalam al- Quran adalah mengikut susunan yang telah ditetapkan di Lauh Mahfuz sebelum ayat-ayat al- Quran diturunkan.


Surah al-Baqarah ialah surah yang terpanjang dalam al-Quran. Jika surah ini dibaca di dalam rumah, syaitan akan lari (berdasarkan hadith sahih). Kenalah selalu dibaca bukan dibaca apabila baru masuk rumah saja. Mesti di baca oleh tuan rumah bukan oleh orang lain atau dipasangkan CD. Ianya berkesan jika di baca oleh orang yang bertakwa, yang mematuhi perintah Allah. Jika masih ada perkara lagha di dalam rumah tersebut, maka syaitan masih ada. Wallahua’lam.


Apakah makna ‘alif lam mim’ dalam ayat 1 surah 2 : al – Baqarah?


Ada 4 pendapat ulamak tentang makna ‘alif lam mim’.


1. Ia ada makna. 

Ada ulamak yang berpendapat ianya nama Allah dan ada yang berkata ianya nama surah. 

Pendapat ini tiada dalil, maka pendapat ini tertolak.


2. Ia ada makna tetapi Allah saja yang tahu maknanya. 

Pendapat ini tiada dalil, maka pendapat ini juga tertolak.


3. Ia tiada makna sebab ianya semata-mata huruf. 


Sama-samalah kita perhatikan maksud ayat-ayat berikut.


Alif Lam Ra. 

Itulah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas.

Sesungguhnya Kami, Kami telah menurunkannya berupa Al-Quran yang dibaca dalam bahasa Arab agar kalian memahami(nya). 

-  ayat 1- 2 Surah 12 : Yusuf.


Selari dengan ayat 2 Surah Yusuf di atas, huruf- huruf  ‘alif lam mim’ difahami walau pun ia tiada makna. Ia difahami sebagai huruf-huruf bahasa Arab.


Kenapakah Allah turunkan huruf-huruf yang tiada makna?  


Walaupun tiada makna, hikmahnya ada, bukan sia-sia. Tujuannya ialah untuk menzahirkan kehebatan al-Quran.


Kehebatannya ialah ia diturunkan dalam bahasa Arab, iaitu sama dengan bahasa dan huruf orang Quraisy. Apabila huruf dan bahasa sama, maka Allah mencabar orang Quraisy yang menuduh Nabi saw membuat al-Quran sendiri.


Allah mencabar orang Quraisy untuk membuat ayat al- Quran kerana mereka sepatutnya boleh membuat ayat al-Quran sebab al-Quran ialah dalam bahasa mereka. Namun mereka tidak dapat membuat satu ayat pun, walau pun bahasanya sama, sekali gus membuktikan al-Quran bukan cipataan Nabi saw tetapi ianya ialah daripada Allah.


Ini ialah pendapat Imam Mujahid, ahli tafsir terkenal zaman tabi’in.


4. Ulamak tak tahu samada ada makna atau tidak, mereka berserah kepada Allah.