PELAN PENGAJIAN ANAK HAFIZ
Ramai tanya saya, apa nak buat bila kita berminat sangat nak masukkan anak ke full tahfiz tapi masalahnya keluarga tak setuju. Lagi lah bila yang tak setuju tu adalah si suami.
Macamana nak yakinkan mereka ?
Caranya, kita "bentangkan" Pelan Pendidikan anak dari umur sekarang hingga umur anak keluar dari universiti supaya mereka tahu yang masuk ke madrasah full tahfiz tak bermakna anak takde masa depan yang lebih cemerlang dalam kerjayanya...malah dia boleh jadi lebih baik dari orang lain..sebab di dadanya ada 30 juzuk Al Quran. InsyaAllah.
Sebab apa lebih baik?
Sebab, kalau nanti dia jadi engineer, dia engineer yang hafiz
Kalau doktor, doktor yang hafiz
Kalau lawyer, kaunselor, pakar ekonomi...juga yang ada title Al Hafiz.
Tapi ini bukan title Al Hafiz yang biasa-biasa. Ini Al Hafiz yang HAFAZ 30 juzuk dan INGAT 30 juzuk. Al Hafiz jenis ini kebiasaannya mampu dilahirkan di madrasah-madrasah full tahfiz yang tiada akademik.
Baiklah. Apa yang perlu dibentang pada mereka ?
PELAN PENDIDIKAN ANAK
▪️Umur 4 hingga 6 tahun
Anak mula diajar Al Quran bermula dari Iqra. Sebaiknya ibu ayah ajar sendiri di rumah supaya anak cepat khatam. Usahakan anak khatam Al Quran seawal 6 tahun supaya semasa di darjah 1 anak sudah boleh mula diajar menghafal juzuk 30 dengan hukum bacaan yang betul.
Dari segi pemilihan tadika, pilih yang ada sistem Cepat Membaca supaya anak dah kuasai 3M bila naik ke darjah 1 nanti.
▪️Umur 7 - 10
Daftarkan anak di sekolah integrasi tahfiz supaya pergaulannya lebih terjaga. Integrasi Tahfiz = sekolah yang ada subjek Hafazan. Jika kawasan kita tiada sekolah integrasi, boleh aje daftarkan di sekolah kerajaaan biasa. Cuma pemantauan ibubapa kena lebih dari segi pemakaian, pergaulan anak dan aktiviti2 sekolah yang anak boleh dan tak boleh sertai.
▪️Umur 11 hingga 15
Daftar ke madrasah full tahfiz.
Targetkan anak habis hafaz selewatnya dalam masa 3 tahun. Tapi jangan terkejut kalau ada yang habiskan hafaz 30juzuk dalam masa 4-5 tahun lebih-lebih lagi kalau anaknya perempuan sebab isu haid. Bayangkan kalau haidnya 15hari, kiranya dalam sebulan menghafal hanya 15 hari yang berbaki.
Masa daftar ke madrasah tahfiz ni, pastikan anak sudah menguasai tajwid dengan baik supaya anak cepat layak ke Kelas Hafazan. Jika anak masuk ke madrasah dengan tajwid yang longgar, anak akan lama di Kelas Nazirah (kelas asas al quran). Bila lama di kelas Nazirah, maka terjejaslah target masa hafazan anak...terjejas jugalah pelan yang telah kita rancang.
▪️Umur 15 dan 16
Ini biasanya umur untuk anak berada di Program Syahadah yang akan berlangsung selama 12 bulan setelah khatam 30 juzuk. Program ini sangat penting buat para huffaz supaya hafalan mereka lebih mantap dan supaya mereka nanti keluar sebagai huffaz yang ingat 30 juzuk.
▪️Umur 16 dan 17
Jika anak tamat hafaz seperti yang dirancang, masa anak umur 16 tahun, daftarkan anak ke Tingkatan 4. Semasa umur 17, anak mengambil SPM. Hanya perlu ke PPD berdekatan untuk dapatkan surat penempatan ke Tingkatan 4 di sekolah yang dipilih.
Di sekitar Johor, terdapat 4 buah sekolah menengah yang menyediakan Fast Track SPM untuk pelajar-pelajar tahfiz berusia antara 17-18 tahun (Program Intervensi Tahfiz) - belajar 1 tahun di tingkatan 5.
i. SMK Bekok, Segamat
Pautan permohonan: https://cutt.ly/RTWtQOo
ii. SMK Benut, Pontian
Pautan permohonan: https://forms.gle/Lk1hkrzXn7tJoxqH8
iii. SMK Simpang Renggam, Kluang
Pautan permohonan: https://forms.gle/Dvd7FgJbyeR18sAZ7
Namun suka diingatkan, mata pelajaran di sekolah-sekolah ini mengikut mata pelajaran di sekolah biasa iaitu TIADA Bahasa Arab/Al Quran Wa Sunnah/Syariah Islamiah. Kiranya sekolah-sekolah sebegini sesuai untuk pelajar yang tidak berminat untuk mengikuti pengajian agama di peringkat STPM/Universiti.
Bagi ibu ayah yang berkemampuan, saya suka mencadangkan untuk ibu ayah tempatkan anak hafiz ini di sekolah-sekolah integrasi under Ikram Musleh kerana pergaulan dan adab pelajar-pelajar di sana lebih terjaga.
Senarai sekolah Ikram Musleh boleh klik sini : https://musleh.edu.my/
Anak sulung saya berdaftar di sekolah under Ikram Musleh ni ketika dia berusia 17 tahun (masuk Form 4).
Tapi jika anak tamat hafaz/syahadah agak lewat boleh terus daftarkan untuk Fast Track SPM sama ada di,
1. Akademi Lembah Ilmu (selangor) : https://www.lembahilmu.my/
2. KUIM Melaka : http://www.kuim.edu.my/pusatislam/index.php/ms/ketua-pusat-islam-as-syafie-kuim/19-program-tahfiz-bestari-persediaan-spm
3. UNISEL : https://www.smarttahfiz.edu.my/
Tempat-tempat ini insyaAllah sesuai untuk anak hafiz kita yang berusia 18 tahun ke atas kerana menyediakan pengajian dengan suasana kolej.
Satu lagi sekolah menengah islam swasta di Johor yang menyediakan fast track SPM dan dalam masa yang sama menitikberatkan pengulangan hafazan adalah Sekolah Menengah Islam At Tanwiriah, Muar, Johor (bayaran rm600 termasuk asrama).
Anak perempuan saya yang kedua selepas tamat syahadah insyaAllah mengambil Fast Track SPM nya di sini ketika berusia 17 tahun (daftar 2024)
Pun begitu, jika ibu ayah risaukan pergaulan mereka, boleh aje tempatkan mereka di fast track tahfiz yang disediakan oleh madrasah seperti kalau di Johor,
1. Madrasah An Nur, Muar
2. Madrasah Al Jauhar, Kota Tinggi (lelaki sahaja)
Atas alasan ini lah, anak perlu ke madrasah tahfiz seawal 11 tahun, bukannya tunggu dia tamat darjah 6 supaya anak dapat khatam awal, dapat sudahkan syahadah tahfiz dahulu sebelum menduduki SPM.
▪️Selepas SPM Nak Sambung Ke Mana?
Ada beberapa pilihan
✔Universiti Malaya / UIA / KUIS dll - memohon ke program Asasi Agama
✔Universiti Sains Islam Malaysia - memohon ke program Tamhidi Syariah dan Undang-undang
✔Universiti Awam/Swasta - program matrikulasi dan diploma
✔Universiti Madinah/Mesir/Jordan - bidang Pendidikan Islam, Qiraat, Farmasi, Perubatan, Pergigian.
PERMOHONAN KE UNI ISLAM MADINAH AL MUNAWWARAH
http://www.abuanasmadani.com/wp-content/uploads/2012/11/Maklumat-dan-Syarat-Permohonan-Belajar-Di-Universiti-Islam-Madinahbaru-1.pdf
PERMOHONAN KE MESIR/JORDAN
https://www.infoupu.com/permohonan-pengajian-timur-tengah/
Jika anak tidak mahu mengambil program asasi/diploma/ke luar negara, untuk pilihan bidang ijazah yang lebih luas, anak boleh mengambil STPM Tahfiz sebelum memilih pelbagai program ijazah sarjana muda di universiti tempatan.
Senarai pusat tingkatan enam yang menawarkan STPM aliran tahfiz.👇
1. SMK Agama Putrajaya
2. SMK Agama Kedah
3. SMK Agama Kerian
4. SMK Agama Maahad Muar
5. SMK Agama Tok Bachok
6. SMK Agama Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail
7.SMK Agama Kota Kinabalu
8 SM Imtiaz YT Kemaman
9.SMK Agama Sheikh Hj. Othman Abd Wahab, Kuching
SYARAT-SYARAT PERMOHONAN
1. Warganegara berumur tidak kurang 17 tahun dan tidak melebihi 20 tahun.
2. Lulus peperiksaan SPM
3. Minimum C Pendidikan Islam/ Pendidikan Syari'ah Islamiah/ Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah
4. Minimum C Bahasa Arab
6. Telah menghafaz minimum 7 juzuk.
Jadi, jika kita merancang untuk anak ambil STPM Tahfiz, pastikan masa di peringkat SPM, anak mengambil senarai mata pelajaran yang diperlukan seperti di atas.
PERMOHONAN KE TINGKATAN ENAM (STPM) ALIRAN TAHFIZ
https://www.permohonan.my/permohonan-tingkatan-6-tahfiz-kpm/
Selesai ijazah sarjana muda, anak juga boleh menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD jika berminat menjadi pakar akademik.
Bayangkan setelah kita menerangkan Pelan Pendidikan yang se-detail ini....adakah pasangan atau keluarga kita masih tegar berkata tidak setuju ?😅
Semoga penulisan ni dapat membantu ibu ayah merancang yang terbaik untuk anak masing-masing😊
Kalau ada apa2 persoalan atau penambahan ilmu/info, saya alu-alukan untuk tulis di ruangan komen.
CikguShainiRazali
Page Aku & Tahfiz