TUJUH (7) SEBAB MENGAPA KITA PERLU TAHU SEJARAH AL-QURAN
1. SAHIH. Al-Quran adalah ayat-ayat yang sahih (benar) dari Allah Azza Wa Jalla yang disampaikan kepada Rasulullah ﷺ melalui malaikat Jibril.
2. BERGURU. Al-Quran wajib dipelajari dengan berguru. Rasulullah ﷺ belajar daripada Jibril. Selepas itu Baginda ﷺ ajarkan kepada kaum keluarga dan sahabat Baginda. Mereka yang menerima pula mengajarkan kepada orang lain lagi lalu turun temurun hingga sampai kepada kita hari ini.
3. MUSHAF. Mengumpul ayat Al-Quran menjadi sebuah mushaf bukanlah bidaah dalam ibadah kerana mushaf adalah alat (medium). Adapun perbuatan sesat adalah jika mengubah ayat-ayat Al-Quran atau memesongkan maksudnya daripada apa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ.
4. TERPELIHARA. Sejak wahyu pertama, Rasulullah ﷺ menjaga keaslian ayat Al-Quran. Baginda memberitahu beza ayat Al-Quran dengan hadis qudsi, wahyu yang bukan ayat Quran dan kata-kata pendapat Baginda. Ayat Al-Quran adalah ayat Al-Quran. Itulah yang dipelihara oleh Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman. Perjuangan itu disambung oleh generasi selepas mereka hingga sampai kepada kita hari ini. Setiap zaman akan ada golongan yang memilhara ayat-ayat Al-Quran.
5. DISIPLIN. Ayat Al-Quran dibaca dengan kaedah tertentu yang membezakan ayat-ayat Al-Quran dengan selainnya. Itu yang kita kenali sebagai tajwid. Oleh sebab itu, tidak diterima bacaan yang lain selain daripada apa yang diterima oleh Rasulullah ﷺ atau disebut Qiraat. Ada Qiraat yang kita boleh gunakan dan ada qiraat yang tidak boleh digunakan yang disebut sebagai Qiraat Maudhu iaitu cara baca Al-Quran yang tidak seperti diajarkan oleh Rasulullah ﷺ.
6. TAFSIR. Selain daripada cara baca, kaedah untuk memahami ayat-ayat Al-Quran juga ada disiplinnya. Ayat-ayat Al-Quran tidak boleh difahami tanpa sumber yang benar. Itulah yang Rasulullah ﷺ dakwahkan sejak menerima wahyu pertama hingga Baginda wafat. Baginda tidak mengajarkan apa yang tidak daripada Allah Azza Wa Jalla.
Ulama dahulu juga menyusun kitab tafsir Al-Quran berdasarkan hadis dan keterangan yang diterima daripada Rasulullah ﷺ. Kemudian ada pula ulama yang mengajarkan dan menyusun kitab lagi untuk menjelaskan kitab tafsir tersebut. Budaya ilmu itu berterusan hingga kini kerana Al-Quran perlu difahami dengan sumber yang betul.
7. LANDASAN. Selepas Rasulullah ﷺ, tidak pernah putus pihak yang mempertahankan ayat-ayat Al-Quran agar seperti yang diajarkan Rasulullah ﷺ; baik dari segi kaedah membacanya dan juga kaedah memahaminya. Oleh sebab itu, kita perlu memilih landasan yang betul dalam pegangan kita kepada Al-Quran.
Landasan yang betul dan selamat adalah mengambil ilmu berkaitan Al-Quran daripada sumber yang dipercayai sejak dahulu hingga kini. Kita perlu berhati-hati agar tidak menerima ilmu Al-Quran yang tiada asalnya atau bercanggah dengan apa yang diajarkan oleh tiga generasi yang hampir dengan Rasulullah ﷺ. (Generasi Sahabat, Tabi'in dan Tabi'ut Tabi'in).
Ketika Nabi Adam diciptakan, para malaikat tunduk kepada Allah dengan pengakuan berikut:
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Maha Suci Engkau (Ya Allah), tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
(Al-Baqarah:32)
Begitu juga kita, tidaklah kita tahu apa-apa tentang Al-Quran melainkan apa yang Rasulullah ﷺ ajarkan mengikut apa yang diwahyukan kepada Baginda.